10 gunung paling bahaya di dunia

10 gunung paling bahaya di dunia

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gunung bukan sahaja menjadi tarikan pelancong dengan keindahan puncak bersalji, malah sesetengahnya digeruni kerana menyimpan ribuan kisah ngeri pendaki yang terkorban.

Menurut Altezza Travel, cabaran seperti ‘zon maut’ pada ketinggian lebih 8,000 meter (m), runtuhan salji, ribut mengejut dan suhu serendah -50 darjah Celsius menjadikan pendakian ke gunung tertentu umpama menempah maut.

Himalayan Masters pula melaporkan, selain faktor cuaca ekstrem dan cerun mencanak, penyakit altitud, hipotermia serta hipoksia turut menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi, hingga ada gunung digelar antara paling berbahaya di dunia.

Bagaimanapun, tidak semua gunung berbahaya terletak pada ketinggian melebihi 8,000 m, malah ada juga puncak 4,000 hingga 6,000 m lebih mencatatkan korban, kerana faktor cuaca ekstrem, cerun berbahaya serta laluan yang sukar diramal.

Berikut adalah gunung berbahaya itu:

1. Gunung Everest, antara sempadan Nepal dan China (8,848 m )

Gunung Everest sering dianggap paling sukar ditawan kerana statusnya sebagai puncak tertinggi dunia, namun menurut Altezza Travel, kadar kematian di sini kini hanya sekitar satu peratus hingga 3.29 peratus berbanding era awal pendakian yang pernah mencatat 14.5 peratus.

Walaupun begitu, cabarannya masih menggerunkan dengan suhu mencecah -60 darjah Celsius, angin kencang, termasuk ‘Zon Maut’ pada ketinggian 8,000 m dan bahagian berbahaya seperti Khumbu Icefall dan Hillary Step yang menuntut kemahiran teknikal tinggi.

2. K2, sempadan Pakistan dan China (8,611 m)

K2 yang digelar ‘Savage Mountain’ kerana curam, cuaca tidak menentu dan laluan berbahaya seperti ‘Bottleneck’, dianggap lebih sukar didaki berbanding Everest dengan kadar kematian yang pernah mencecah 25 peratus sebelum menurun kepada 13.7 peratus pada 2024.

3. Kangchenjunga, sempadan India dan Nepal (8,568 m)

Gunung ketiga tertinggi dunia ini mencatat kadar kematian 15 hingga 22 peratus akibat cuaca tidak menentu, runtuhan salji, cerun curam dan lokasi terpencil yang menyukarkan operasi menyelamat.

4. Makalu, Nepal (8,485 m)

Makalu di timur Nepal merekodkan kadar kematian antara 13 hingga 14 peratus, merekodkan lebih 30 korban sejak 1955 akibat cuaca ekstrem, laluan teknikal yang curam, tiupan angin beku dan risiko runtuhan salji.

5. Dhaulagiri, Nepal (8,167 m)

Dhaulagiri mencatat kadar kematian sekitar 13 hingga 21 peratus, dengan antara 70 hingga 140 korban sejak 1960 akibat cerun curam, altitud ekstrem, runtuhan salji dan cuaca tidak menentu.

6. Manaslu, Nepal (8,163 m)

Manaslu, antara gunung tertinggi di dunia, meragut lebih 65 nyawa, termasuk 11 pendaki dalam tragedi runtuhan salji 2012 dengan ancaman utama datang daripada runtuhan salji dan penyakit ketinggian.

7. Nanga Parbat, Pakistan (8,126 m)

Dikenali sebagai ‘Gunung Pembunuh’, Nanga Parbat terkenal dengan Rupal Face atau dinding batu dan ais terbesar di dunia setinggi hampir 5,000 m dengan lebih 60 korban direkodkan sebelum dan selepas pendakian berjaya pertama oleh Hermann Buhl pada 1953.

8. Annapurna, Nepal (8,091 m)

Annapurna digelar gunung paling berbahaya di dunia, mencatatkan lebih 72 korban dengan kadar kematian 27 hingga 32 peratus, termasuk tragedi ribut salji 2014 yang meragut 43 nyawa.

9. Gasherbrum I, sempadan Pakistan dan China (8,080 m)

Gasherbrum I, atau K5, mencatat kadar kematian sekitar 10 peratus akibat cuaca ekstrem, laluan berbatu dan risiko runtuhan salji.

10. Broad Peak, Pakistan (8,051 m)

Broad Peak atau K3 mencatat kadar kematian sekitar lapan peratus dengan lebih 20 korban direkodkan, dipengaruhi faktor risiko seperti cuaca tidak menentu, cerun curam dan jumlah pendaki yang rendah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top