Gempa bumi kuat di Timur Jauh Rusia

Gempa bumi kuat di Timur Jauh Rusia

Moscow: Satu gempa bumi kuat melanda Wilayah Kamchatka di Timur Jauh Rusia, kata gabenor wilayah itu pada Jumaat.

Ia mendorong beberapa siri amaran tsunami dikeluarkan di rantau berkenaan tetapi tiada laporan kerosakan diterima sebaik ombak itu sampai ke pantai.

Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gempa itu diukur pada magnitud 7.8 dan pada kedalaman 10 kilometer (km).

Katanya, satu siri gempa susulan turut berlaku yang berukuran sehingga magnitud 5.8 .

Kementerian Kecemasan Rusia berkata, gempa bumi itu bermagnitud 7.2.

Gabenor Vladimir Solodov berkata, semua perkhidmatan kecemasan diletakkan dalam keadaan siap siaga tinggi tetapi tiada kerosakan dilaporkan.

Amaran tsunami dikeluarkan untuk pantai timur semenanjung itu yang menganjur jauh ke Laut Bering dan Lautan Pasifik.

Pegawai lain melaporkan ombak tsunami setinggi 30 hingga 62 sentimeter di beberapa lokasi di sepanjang pantai semenanjung itu.

Kementerian Kecemasan berkata, amaran tsunami juga dikeluarkan untuk beberapa bahagian di rantaian kepulauan Kuril, di utara Jepun.

Video disiarkan di media sosial menunjukkan lekapan lampu dan perabot dapur bergegar semasa gempa itu. Kumpulan kecil orang ramai juga dilihat berkumpul di jalan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan nasihat tsunami untuk beberapa bahagian di Alaska, berikutan gempa itu, tetapi amaran itu kemudiannya ditarik balik.

Kamchatka terletak di kawasan yang sangat seismik dan sekurang-kurangnya dua gempa bumi dengan magnitud lebih besar daripada tujuh berlaku dalam seminggu yang lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top