saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, 31, melakar sejarah tersendiri apabila dilantik selaku Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia edisi ketiga yang berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober depan di Manama, Bahrain.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu yang dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), mencerminkan komitmen bersama untuk menyerahkan tanggungjawab kepada seorang pemimpin sukan muda dan dinamik, yang mempunyai pengalaman dan pencapaian luas di pentas antarabangsa sekali gus dapat memberi inspirasi serta motivasi kepada barisan atlet muda negara.
“Perjalanan Farah Ann dalam sukan gimnastik adalah kisah penuh semangat, ketabahan dan kecemerlangan. Bermula dari usia muda sebagai gimnas cilik, dia bangkit menjadi antara atlet paling disegani di Malaysia.
“Ketekunan, daya juang dan semangat pantang menyerahnya menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda,” kata kenyataan itu.
Di Sukan SEA, Farah Ann menyerlah dengan meraih 12 pingat keseluruhan iaitu membabitkan tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa dalam empat edisi iaitu pada 2011, 2015, 2017 dan 2019.
Detik paling manis hadir pada Sukan SEA ke-30 di Filipina 2019, apabila dia memenangi tiga pingat emas dalam acara All-Around, melombol dan senaman lantai.
Farah Ann juga pernah mewakili Malaysia di pentas Sukan Komanwel pada 2010, 2014 dan 2018, serta Sukan Asia pada 2014 dan 2018.
Karier gemilangnya mencapai kemuncak apabila dia layak beraksi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus menjadi gimnas Malaysia keempat dalam sejarah yang beraksi di pentas Olimpik.
“MOM amat yakin bahawa Farah Ann mampu memberi inspirasi dan dorongan kepada kontinjen Malaysia untuk cemerlang pada Sukan Remaja Asia di Bahrain 2025,” kata kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




