am@hmetro.com.my
Padang Besar: Seorang remaja ditahan dan 517,394 peranti vape dan perkakasannya bernilai lebih RM12 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis di sebuah gudang di Padang Besar minggu lalu.
Serbuan dilakukan di Kampung Kolam oleh Cawangan Penguatkuasaan Kastam Padang Besar selepas melakukan risikan dan intipan di kawasan itu.
Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, suspek berusia 19 tahun ditahan, dipercayai menjadi penjaga gudang berkenaan yang dimiliki oleh bapanya.
“Siasatan awal kita mendapati gudang berkenaan dijadikan sebagai transit untuk menyeludup peranti vape serta perkakasan barangan itu ke Thailand di mana semua peranti vape ini diperoleh dari China.
“Vape ini kemudian diambil di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibawa ke gudang itu untuk disimpan sebagai transit sebelum dibawa masuk secara haram oleh pikap atau lori kontena.
“Seperti yang kita tahu kerajaan Thailand melarang penggunaan vape di negara itu namun ia tetap mendapat permintaan di ‘pasaran gelap’ negara berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Katanya, modus operandi yang digunakan adalah menyimpan peranti vape berkenaan di dalam gudang tanpa sebarang dokumen pengimportan rasmi.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati pihak terbabit gagal mengemukakan dokumen pengimportan dan bukti pembayaran cukai yang sah.
“Selain itu juga, kita difahamkan bahawa sekiranya peranti vape ini gagal atau sukar dibawa masuk ke Thailand menggunakan laluan sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, sindiket akan mengalihkan perjalanan mereka untuk tetap memasuki negara itu menggunakan laluan di Kelantan pula.
“Jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM12,385,095,” katanya.
Ismail berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar di Perlis tahun ini dan kes masih dalam siasatan.
mengikut Seksyen 133(1)(f) Akta Kastam 1967.
Ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



