Kampung Fun Walk Datuk Keramat 2025 bakal tonjol semangat kekeluargaan, perpaduan

Kampung Fun Walk Datuk Keramat 2025 bakal tonjol semangat kekeluargaan, perpaduan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Sosial Masyarakat Datuk Keramat (PSMDK) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa akan menganjurkan program Kampung Fun Walk Datuk Keramat 2025 pada 11 Oktober depan sempena sambutan Hari Sukan Negara.

Bertemakan ‘Kampungku’, program acara berjalan santai sejauh tiga kilometer (km) itu akan diadakan sekitar Tasik Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Pengerusi program, Farid Nari berkata, pihaknya mahu menjadikan Kampung Fun Walk sebagai wadah mengeratkan hubungan penduduk setempat sambil menggalakkan gaya hidup sihat.

Katanya, acara itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat pada yuran serendah RM5.

“Kami memilih tema Kampungku kerana mahu menonjolkan semangat kebersamaan, kekeluargaan dan perpaduan serta memperkenalkan Kampung Datuk Keramat yang masih kekal dengan cara hidup Kampung di ibu kota.

“Program ini terbuka untuk semua tanpa mengira usia dan latar belakang,” katanya.

Bagi menambahkan keterujaan, hadiah khas turut ditawarkan untuk kategori Pakaian Terbaik, Kumpulan Ceria dan Keluarga Bahagia.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Program, Zulkifly Mohd Sa’at berkata, lebih menarik majlis itu bakal diserikan dengan kehadiran Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, Datuk Seri Johari juga dijadual merasmikan serta menyertai sendiri acara berjalan bersama penduduk.

“Yuran penyertaan ditetapkan pada RM25 untuk dewasa manakala kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dikenakan bayaran RM5 sahaja, sementara peserta 7 tahun ke bawah boleh menyertai acara secara percuma.

“Setiap peserta akan menerima ‘snack pack’, medal dan ‘tag’ peserta, malah selain aktiviti berjalan santai, pelbagai acara menarik turut menanti termasuk zumba, taichi, pemeriksaan kesihatan, jualan Madani, pameran komuniti serta cabutan bertuah,” katanya.

Bagi menambahkan keterujaan, hadiah khas turut ditawarkan untuk kategori Pakaian Terbaik, Kumpulan Ceria dan Keluarga Bahagia. Cabutan Bertuah juga menyediakan pelbagai hadiah menarik seperti smartphone dan basikal senaman untuk peserta yang bertuah.

Acara dijangka bermula seawal jam 7 pagi dengan sesi taichi, dan tarikh akhir pendaftaran adalah pada 6 Oktober 2025, manakala tempahan baju rasmi ditutup pada 29 September dengan harga RM25 sehelai.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Cik Ayu (012-933 6952) atau Siti Hajar (018-269 3034), selain mengikuti kemas kini menerusi laman Facebook rasmi Fun Walk Hari Malaysia Datuk Keramat 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top