Setiap kali tibanya Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia menyambut hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan penuh rasa syukur dan cinta. Inilah insan yang membawa sinar hidayah, cahaya yang menyingkap kegelapan jahiliah dan mengangkat martabat manusia ke darjat mulia di sisi Allah SWT. Namun, pernahkah kita menyelami rahsia di sebalik nama dan gelaran baginda SAW yang disebut dalam al-Quran? Nama bukan sekadar panggilan, tetapi ia membawa makna, misi, dan keagungan peranan Rasulullah SAW sebagai utusan terakhir. Dalam suasana ini, marilah kita menyingkap keistimewaan nama baginda yang diabadikan oleh Allah SWT dalam kalam-Nya yang suci.
Muhammad: Yang Terpuji
Allah SWT menamakan baginda SAW sebagai Muhammad dalam empat ayat al-Quran. Antaranya, firman Allah: “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup segala nabi” – (Surah al-Ahzab: 40). Nama Muhammad bermaksud ‘yang banyak dipuji’, menggambarkan akhlak baginda yang sempurna sehingga dipuji bukan hanya oleh manusia di bumi, bahkan malaikat di langit. Nabi SAW pernah bersabda: “Aku adalah Muhammad, Ahmad, al-Mahi (penghapus kekufuran), al-Hasyir (pengumpul manusia di bawah panji), dan al-Aqib (penutup sekalian nabi)” – (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Setiap gelaran ini lahir daripada misi kenabian Baginda
Nama Muhammad bukan sekadar label, tetapi simbol kepada sifat terpuji yang menjadi contoh ikutan umat. Tatkala kita membaca selawat, lidah kita mengalunkan nama baginda yang penuh keberkatan, menyalurkan rahmat kepada pembacanya. Tidakkah kita mahu mencontohi baginda SAW yang hidupnya penuh dengan pujian kerana akhlaknya yang agung? Jawapannya sudah tentu kita mesti dan wajib mencontohinya.
Ahmad: Pujian yang tertinggi
Dalam Surah al-Saff ayat 6, Nabi Isa AS meramalkan kedatangan seorang Rasul selepasnya dengan nama Ahmad: “…dan memberi khabar gembira tentang seorang Rasul yang akan datang sesudahku yang namanya Ahmad.”
Nama ini menggambarkan tahap tertinggi sifat terpuji. Jika Muhammad bermaksud yang dipuji, Ahmad bermakna insan yang paling banyak memuji Allah. Inilah rahsia hubungan baginda Nabi SAW dengan Tuhannya yang sentiasa basah bibir dengan zikir, penuh syukur atas setiap nikmat serta reda dengan setiap ujian.
Tadabbur ayat ini mengingatkan kita bahawa kelahiran Nabi SAW adalah jawapan kepada doa nabi terdahulu. Baginda bukan sekadar rahmat untuk umat akhir zaman, tetapi penutup rangkaian nubuwwah yang diisyaratkan sejak zaman-berzaman. Maka, setiap kali menyebut nama Ahmad, kita meneguhkan iman bahawa risalah baginda SAW adalah kesinambungan kebenaran para anbia.
Al-Muzammil dan Al-Muddaththir: Insan yang bangkit menyahut seruan
Dalam Surah al-Muzzammil ayat 1, Allah memanggil baginda dengan gelaran: “Wahai orang yang berselimut!”. Dalam Surah al-Muddaththir ayat 1 pula, Allah berfirman: “Wahai orang yang berselimut dengan pakaian, bangunlah lalu berilah peringatan!”. Dua panggilan ini penuh kelembutan dan kasih sayang daripada Allah, sekali gus menggambarkan detik awal baginda menerima wahyu. Pada saat baginda SAW gementar selepas turunnya wahyu pertama dalam peristiwa bersejarah di Gua Hira, Allah SWT menenangkan dengan seruan mesra, lalu mengangkatnya untuk memikul tanggungjawab dakwah.
Nama ini mengajar kita erti persediaan jiwa. Daripada insan yang berselimut kerana bimbang, baginda SAW bangkit menjadi pembawa peringatan yang tegas. Bukankah ini inspirasi bagi kita agar tidak terus lena dalam keselesaan, sebaliknya bangun menyahut seruan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar?
Rasulullah dan Nabiyyullah: Gelaran kenabian
Gelaran paling agung adalah Rasulullah iaitu utusan Allah. Al-Quran menyebutnya berulang kali, antaranya dalam Surah al-Fath ayat 29: “Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka…”. Gelaran ini menegaskan kedudukan baginda SAW sebagai perantara wahyu, pembawa risalah tauhid yang menghapus syirik.
Sebagai Nabiyyullah, baginda bukan sahaja menyampaikan wahyu, tetapi juga teladan yang hidup. Allah mengingatkan: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu…” (Surah al-Ahzab: 21).
Maka, setiap Muslim yang mengaku umat Nabi Muhammad tidak cukup sekadar berbangga dengan gelaran itu, tetapi wajib mengikut sunahnya dalam ibadah, akhlak, dan perjuangan jihad baginda SAW dalam segenap aspek kehidupan.
Kepentingan nama Rasulullah
Nama dan gelaran Rasulullah SAW membawa mesej mendalam tentang keperibadian, peranan dan misi baginda. Muhammad menegaskan akhlak terpuji, Ahmad melambangkan hamba yang paling banyak memuji Allah, al-Muzammil” dan al-Muddaththir mengingatkan tentang detik perjuangan dakwah manakala Rasulullah meneguhkan risalah kenabian. Semuanya adalah simbol cinta Allah kepada Nabi-Nya.
Menghayati semua nama ini menjadikan cinta kita kepada baginda lebih mendalam. Ia bukan sekadar sambutan maulid dengan selawat dan perarakan, tetapi penghayatan makna sebenar nama baginda SAW dalam kehidupan. Bukankah Allah SWT sendiri memuliakan baginda SAW dengan nama dan gelaran itu? Benarlah firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.” (Surah al-Insyirah: 4)
Penutup: Menyemai cinta Rasulullah dalam hati
Maulidurasul bukan hanya sekadar mengingat tarikh lahir baginda SAW, tetapi medan untuk menyemai kecintaan sejati. Menghayati nama Rasulullah SAW dalam al-Quran membuka mata kita kepada keagungan peranan baginda. Dialah Muhammad yang terpuji, Ahmad yang memuji Allah, al-Muzammil dan al-Muddaththir yang bangkit menyahut wahyu serta Rasulullah iaitu utusan Allah yang membawa rahmat bagi seluruh alam.
Cinta sejati kepada Rasulullah SAW menuntut kita untuk menjadikan baginda sebagai teladan hidup. Marilah kita memperbanyakkan selawat, meneladani akhlak mulia, dan meneguhkan syariat dalam diri, keluarga serta masyarakat. Sesungguhnya, siapa yang mencintai Rasulullah, dia akan bersama baginda di syurga kelak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu akan bersama dengan siapa yang dia cintai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Semoga maulid kali ini menjadi titik permulaan untuk kita lebih mengenal nama baginda SAW, lebih menghayati peranannya, dan lebih menyalakan cinta serta rindu yang mendalam dalam hati sanubari. Indahnya nama-Mu ya Rasulallah, selawat dan salam ke atasmu kekasih Allah, penghulu sekalian nabi dan rasul.
Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




