am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sebenarnya ramai yang takut dan tidak mahu menyimpan keris lama kerana percaya ia menyimpan hantu atau saka. Susulan itu banyak keris ini diserahkan kepada saya untuk dijaga,” ujar pengurus bank, Ruzaimi Rashid, 39.
Minatnya yang mendalam terhadap senjata tradisional Melayu dibuktikan apabila dia kini mengumpul lebih 100 bilah senjata termasuk keris, pedang dan parang.
Menurutnya, dia berasa bertanggungjawab menyimpan dan memelihara warisan budaya itu supaya generasi akan datang mengetahui sejarah bangsa.
Dia berkata, hobi itu bermula atas dasar minat mendalam terhadap seni silat dipelajarinya pada zaman sekolah.
“Ketika belajar seni silat, saya turut didedahkan berhubung penggunaan senjata Melayu. Dari situ, saya mula mendalami ilmu berkaitan keris,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Menurutnya, walaupun ketika itu hanya mampu memiliki keris latihan kerana kekangan kewangan, minat tidak pernah pudar malah semakin membara.
“Apabila sudah bekerja, pelbagai jenis keris saya beli dan simpan sebagai koleksi di rumah,” katanya.
Seiring dengan pertambahan koleksi, dia juga menitikberatkan penjagaan keris supaya senjata itu kekal cantik dan tahan lama.
“Nak jaga keris supaya tidak rosak tidak susah, hanya perlu diletak minyak pada bahagian bilah keris.
“Selalunya saya gunakan minyak singa atau minyak antikarat untuk elakkan keris dan parang daripada berkarat,” katanya.
Menurutnya, tujuan utama mengumpul keris adalah untuk memelihara warisan budaya di samping memastikan senjata tradisi melayu terus dikenali.
Bagi Ruzaimi, setiap bilah dalam koleksinya bukan sekadar hobi unik, sebaliknya lambang sejarah identiti bangsa yang wajar dipelihara untuk generasi seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




