Pusat Hemodialisis Mawar catat keuntungan bersih RM4.34 juta

Pusat Hemodialisis Mawar catat keuntungan bersih RM4.34 juta

am@hmetro.com.my

Seremban: Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) berjaya mencapai keuntungan bersih sebanyak RM4.34 juta bagi tahun kewangan 2025, hasil daripada penstrukturan semula organisasi, inovasi dalam strategi pemasaran dan pengurusan kewangan yang berkesan.

Pengerusi PHM, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, pendapatan hospital itu meningkat 11.8 peratus kepada RM80.7 juta berbanding RM72.2 juta pada tahun kewangan 2024.

“Purata pendapatan bulanan turut meningkat daripada RM6 juta kepada RM6.7 juta. Ini menunjukkan pertumbuhan bilangan pesakit hasil peningkatan kualiti perkhidmatan.

“Untung kasar meningkat sebanyak 1.7 peratus mencapai RM35.2 juta berbanding RM34.6 juta pada tahun lalu, dengan purata bulanan sebanyak RM2.93 juta.

“Walaupun begitu, margin untung kasar menurun daripada 47.9 peratus kepada 43.6 peratus mencerminkan peningkatan kos operasi,” katanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PHM, di sini, hari ini.

Lee berkata, untung operasi PHM selepas pengecualian yuran pengurusan kepada Matrix Medicare Sdn Bhd adalah RM12.6 juta, mengalami penurunan sebanyak 9.4 peratus berbanding RM13.9 juta pada tahun sebelumnya.

“Namun, kami berjaya mengurangkan baki hutang kepada Matrix Medicare daripada RM22 juta kepada RM12.7 juta, menunjukkan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab dan berhemat,” katanya.

Beliau berkata, kapasiti katil PHM telah berkembang daripada 57 katil pada 2023 kepada 77 katil tahun lalu dan kini mempunyai 97 katil dengan purata 84 katil beroperasi.

Menurutnya, walaupun pendapatan bagi setiap katil menurun sedikit daripada RM1.1 juta kepada RM1 juta, operasi kekal teguh walaupun dalam tempoh pengembangan infrastruktur.

“Sejak lesen operasi diperoleh pada 2019, kami berkembang dari 28 katil dan dua dewan bedah kepada hospital pakar pelbagai disiplin dengan 97 katil, 25 Pakar Runding Residen dan 41 Pakar Runding Luar, mengukuhkan reputasi kami di Negeri Sembilan.

“Perkhidmatan pesakit luar telah diperluaskan daripada 15 kepada 18 klinik pakar, termasuk pengenalan disiplin baharu seperti perubatan onkologi, neurologi, gastroenterologi & hepatologi, dermatologi pediatrik, dan elektrofisiologi jantung,” katanya.

Dalam pada itu, Lee berkata, pada tahun kewangan 2025, PHM memperuntukkan RM906,000 untuk program subsidi kebajikan dan penajaan, bagi memastikan akses kepada rawatan dan perkhidmatan dialisis yang berkualiti serta mampu milik untuk pesakit yang memerlukan.

Katanya, selain itu lebihan keuntungan daripada perkhidmatan dialisis sebanyak RM183,700 telah dikembali kepada komuniti di mana setiap seorang daripada 167 pesakit dialisis menerima sumbangan sebanyak RM1,100, sebagai satu lambang penghargaan.

“Dalam melangkah ke hadapan, kami merancang kepada pengembangan yang signifikan, penambahan 12 katil pesakit menjadikan jumlah keseluruhan 109 katil, perkenalan 16 katil rawatan harian, pembukaan 6 dewan bedah hibrid dan dewan bedah ketiga serta penubuhan 13 klinik pakar baharu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top