am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan yang cedera dirempuh bot pancung disyaki membawa pendatang tanpa izin (PATI) pada Selasa lalu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Port Dickson.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, beliau sudah melawat anggota terbabit iaitu Laskar Kanan Maritim Abdul Rahman Zakariah, 34, dan Laskar Kanan Maritim Muhamad Arif Yahya, 36, semalam dan keadaan kesihatan mereka adalah stabil.
Menurutnya, Abdul Rahman bagaimanapun masih perlu mendapatkan rawatan susulan akibat kecederaan pada hidung manakala Muhamad Arif hanya mengalami lebam pada kaki dan tangan.
“Alhamdulillah tiada kecederaan serius. Saya rasa kejadian itu menjadi pendorong untuk lebih semangat membanteras aktiviti penyeludupan bukan saja PATI, malah dadah dan aktiviti melanggar undang-undang di perairan negara kita.
“Bot ronda APMM juga tidak mengalami kerosakan besar dan boleh dibaiki untuk digunakan dalam operasi di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Pembersihan Pantai APMM dan Soroptimist International Region of Malaysia (SIROM) di Pantai Pengkalan Balak, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Melaka Dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria; President Soroptimist International Ampang, Dr Siti Zainab Mohd Zaini dan President Soroptimist International Region Of Malaysia, Rebecca Lai Abdullah.
Mohd Zawawi turut mengulangi penegasan bahawa insiden pada 16 September itu juga tidak mematahkan semangat pihaknya untuk terus melaksanakan tugas mengawal perairan Melaka dan Negeri Sembilan hingga ke Selangor.
“Kita akan terus melaksanakan dan mempergiat operasi terutamanya di ‘hotspot’ yang dikenalpasti sebagai laluan masuk PATI dari negara jiran terutamanya di sebenarnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Buktinya kita berjaya menahan sebuah bot pancung membawa 20 PATI warga Indonesia keesokkan harinya. Ia membabitkan sindiket berbeza namun ia memberi petunjuk berkaitan bot yang merempuh aset APMM dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zawawi turut mengulas keselamatan di laut dan menekankan pemakaian jaket keselamatan terutama kalangan pemancing bagi mengurangkan risiko kejadian lemas.
“Sejak 2020 sehingga 26 Ogos lalu, sebanyak 336 kes lemas di laut membabitkan 499 mangsa kebanyakannya tidak memakai jaket keselamatan.
“Daripada jumlah itu, 176 orang berjaya diselamatkan, namun 216 orang meninggal dunia dan 107 orang masih hilang.
“Jaket keselamatan penting… walaupun sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya tubuhnya masih boleh terapung. Jika langsung tidak pakai jaket dia akan tenggelam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




