Pasukan Eropah bermula garang di Piala Laver

Pasukan Eropah bermula garang di Piala Laver

San Francisco: Juara bertahan, Pasukan Eropah bermula garang pada hari pertama Piala Laver di San Francisco, apabila memenangi tiga daripada empat perlawanan untuk mendahului Pasukan Dunia, dengan Carlos Alcaraz menjadi tumpuan aksi beregu.

Alcaraz yang kembali merampas ranking nombor satu dunia selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan ini, bergandingan dengan pemain Republik Czech, Jakub Mensik untuk menundukkan Taylor Fritz-Alex Michelsen 7-6(7), 6-4 dalam aksi terakhir hari pertama.

“Bermain beregu beri lebih banyak peluang melakukan pukulan hebat, tetapi ia bukan hanya mengenai seorang pemain. Ia usaha sepasukan bersama Jakub yang mempunyai skil hebat dan buat saya rasa selesa di gelanggang,” kata Alcaraz.

Dalam penampilan pertamanya selepas menggenggam gelaran Grand Slam keenam, Alcaraz mempamerkan sentuhan magis di jaring dan garisan belakang, manakala Mensik membawa kekuatan pukulan sehingga berjaya meraih break penentu pada permainan ke-10 set kedua.

Pertandingan tiga hari itu dianggap sebagai sukan tenis seperti Piala Ryder golf dengan pasukan pertama mengutip 13 mata daripada 24 keseluruhan dinobatkan juara.

Setiap kemenangan pada hari pertama bernilai satu mata, dua mata pada hari kedua dan tiga mata pada hari terakhir.

Pemain Norway, Casper Ruud membuka tirai kemenangan Eropah dengan menewaskan Reilly Opelka 6-4, 7-6(4), sebelum Mensik menambah satu mata lagi menundukkan Michelsen 6-1, 7-6(3), 10-8.

Bagaimanapun, pemain remaja Brazil, Joao Fonseca memastikan Pasukan Dunia tidak dibolosi sepenuhnya selepas menewaskan Flavio Cobolli 6-4, 6-3.

“Saya tahu ia perlawanan sukar dan amat penting. Saya gembira dengan cara saya kekal positif. Saya suka bermain agresif, menekan lawan tanpa beri ruang bernafas,” kata Fonseca.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top