sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persaingan merebut tempat dalam skuad utama Liga Malaysia (Liga M) dilihat masih terbuka untuk pemain muda tempatan meskipun kebanyakan kelab lebih suka menggunakan khidmat import bagi menguatkan pasukan.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, meskipun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan pengambilan pemain import dalam jumlah tertentu, namun tidak semua pasukan berkemampuan.
Secara langsung, ia membuka satu peluang buat bakat muda di negara ini.
Namun katanya, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana persaingan pasti menjadi sengit untuk merebut tempat, apatah lagi dalam kesebelasan utama.
“Kalau kita lihat, bukan semua kelab guna ramai pemain import. Ada juga pasukan yang tidak mampu ambil semua kuota, biasanya hanya kelab besar sahaja yang berbuat demikian.
“Jadi, peluang pemain tempatan masih ada. Untuk mereka kekal bersaing, pemain perlu berusaha lebih kuat dan bijak kerana saingan ketika ini sangat sengit,” katanya.
Justeru, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia dan MFL dapat merangka strategi serta perancangan untuk mewujudkan pertandingan yang memberi tumpuan khusus kepada bakat muda ini selain Piala Presiden dan Piala Belia.
“Yang penting, wujudkan lebih banyak peluang untuk pemain remaja beraksi. Jika kerap diberi peluang dalam kejohanan, saya yakin kita mampu mengumpulkan satu kelompok pemain berbakat dengan jumlah yang besar,” kata Azlan.
Ketika ini, Harimau Muda dilihat tidak mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi sehingga memberi kesan terhadap dua pertandingan terakhir.
Pertama, mereka gagal melepasi peringkat kumpulan Piala AFF Bawah 23 (B-23) tahun di Indonesia pada Julai lalu.
Seterusnya, skuad kendalian Nafuzi Zain terus longlai apabila gagal mendapatkan tiket secara merit ke Piala Asia B-23 tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




