Selepas aksi di Asia Bagus 1991 Noryn tak toleh belakang

Selepas aksi di Asia Bagus 1991 Noryn tak toleh belakang

georgie@hmetro.com.my

SIRI 1

Perjalanan seni penyanyi, Noryn Aziz sebenarnya bermula jauh lebih awal daripada disangkakan ramai.

Pendedahan semula penyertaannya di Asia Bagus pada era 90-an baru-baru ini mengejutkan ramai.

Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz, 48, memang serius menjadi penyanyi sejak kanak-kanak. Namun, dia bersyukur video dia bertanding di Asia Bagus itu tular.

“Sebenarnya ramai yang tak tahu. Apabila video itu keluar balik ramai macam tak percaya saya menyanyi sejak kecil rupanya. Puaslah saya cakap saya nyanyi sejak kecil banyak kali.

“Mungkin dulu-dulu kita tak ada video, kita tak ada media sosial, kan? Jadi, orang macam tidak nampak saya nyanyi sejak kecil. Apabila nampak video itu sendiri, barulah ramai percaya,” katanya.

Penyertaannya dalam pertandingan nyanyian popular, Asia Bagus pada 1991 adalah titik permulaan penting buatnya.

Ketika itu dia baru berusia 14 tahun dan semuanya bermula apabila ibu bapanya dihubungi untuk membawanya ke sesi uji bakat.

“Saya masuk Asia Bagus pada 1991. Ada orang hubungi ibu bapa saya untuk bawa uji bakat di Hulu Klang. Merekalah beria-ia sebab saya minat sangat menyanyi sejak usia sembilan tahun. Mereka pula memang suka dan bangga anak jadi penyanyi,” katanya yang berjaya melepasi uji bakat dan terpilih untuk menyertai pusingan mingguan di Singapura.

Namun begitu, rezeki tidak menyebelahinya untuk mara lebih jauh. Bagaimanapun, pengalaman terbabit cukup untuk menyuntik keyakinan dalam dirinya bahawa nyanyian adalah kerjaya yang ingin diceburinya.

“Pergi uji bakat kemudian dapat pula. Rasa macam tak percaya. Saya berjaya masuk pusingan mingguan, namun terkandas di peringkat pusingan bulanan. Pemenang ketika itu adalah peserta lelaki dari Jepun.

“Sejak itu, saya berfikir sebenarnya penyanyi boleh jadi karier serius saya. Saya nekad dan tiada kerja lain dalam fikiran sama ada nak jadi guru atau profesion lain,” katanya.

Selepas tamat cabaran di Asia Bagus, Noryn tidak berhenti, malah semakin giat menyertai pelbagai pertandingan nyanyian lain. Dia sering menyertai pertandingan anjuran pesta negeri.

“Dulu-dulu kita banyak pertandingan menyanyi tapi di pesta seperti Pesta Selangor, Pesta Johor dan Pesta Pulau Pinang. Alhamdulillah saya selalu menang. Saya rajin pergi pertandingan nyanyian,” katanya.

Kejayaan demi kejayaan diraihnya membuatkan ibu bapanya semakin serius dan yakin dengan minatnya. Namun, mereka meletakkan satu syarat tegas iaitu dia kena utamakan pelajaran juga.

Noryn mendedahkan dia perlu memastikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang jika mahu terus menyanyi.

“Selepas Asia Bagus, mereka okey saya teruskan menyanyi. Tapi apabila SPM, mereka bertegas saya dapat pangkat satu. Barulah mereka restu untuk saya kembali menyambung minat itu,” katanya.

Selepas berjaya memenuhi syarat akademik, Noryn terima tawaran pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan perniagaan di UiTM, Arau, Perlis.

“Saya dapat tawaran masuk UiTM, belajar muzik dan di UiTM Arau untuk perniagaan. Awalnya saya nak ambil perniagaan tapi memang tak sampai ke sanalah kerana jauh daripada keluarga. Saya pula manja. Pada ketika itu, saya memutuskan untuk sambung pengajian dalam bidang muzik,” katanya.

Ketika di UiTM, dari situlah dia terbabit dalam projek duo Sister Sister yang cuma bertahan setahun. Kemudian dia menerima tawaran menjadi artis rakaman daripada Warner Music pula.

“Saya ada buat album Sister Sister yang diterbitkan Manan Ngah, tetapi cuma bertahan setahun. Kemudian dapat tawaran jadi artis solo pula apabila ketika itu memang sangat dilema. Susah apabila belajar dan jayakan persembahan,” katanya.

Bagaimanapun, peralihan terbesar dalam kerjaya muziknya apabila dia beralih ke International College of Music (ICOM) kerana mahu mendalami muzik moden khususnya jazz.

“Di ICOM belajar muzik lebih moden. Mula-mula asas saja dan saya dapati seronok pula kerana apa yang saya belajar itu boleh diaplikasikan dalam dunia sebenar. Ketika di UiTM, lebih kepada pendekatan klasikal.

“Di kolej itulah menjadi titik mula saya memilih genre jazz untuk identiti saya pada 2000,” katanya.

ESOK: Lama mendiam, ramai terkejut perubahan drastik Noryn.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top