Selangor FC bermain baik, namun terima kekalahan ini – Katsuhito

Selangor FC bermain baik, namun terima kekalahan ini – Katsuhito

sukan@metro.com.my

Kuching: Ketua jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito mengakui pasukannya telah memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan, namun tetap akur dengan kekalahan ketika berdepan Kuching City FC.

Dalam sidang media selepas perlawanan, pengendali dari Jepun itu menegaskan bahawa para pemain telah menunjukkan semangat juang tinggi meskipun berdepan jadual padat dan keadaan cuaca yang mencabar.

“Kami datang semalam dan terus beraksi hari ini, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Di separuh masa pertama, barisan pertahanan kami berada sedikit rendah daripada perancangan asal dan ini memberi ruang kepada lawan untuk mencipta hantaran berbahaya,” katanya.

Namun begitu, beliau memuji kebangkitan pasukannya di separuh masa kedua dengan mengimbangi perlawanan.

“Kami naikkan sedikit garisan pertahanan dan menjadikan formasi lebih padat.

“Ia berfungsi dengan baik dan kami mula bermain dengan lebih tersusun dan mula mengawal permainan,” jelasnya.

Keletihan The Cats akibat cuaca panas juga memberi kelebihan kepada Selangor untuk mengatur semula permainan, tetapi kecuaian menghadiahkan sepakan percuma kepada pasukan tuan rumah yang kemudiannya menghasilkan gol tunggal perlawanan.

“Kami bolos melalui sepakan percuma selepas itu, semangat mereka meningkat dan kami pula kehilangan sedikit tenaga untuk bangkit,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai cabaran mengharungi jadual padat dengan tujuh perlawanan dalam sebulan, Katsuhito menegaskan bahawa beliau tidak menjadikan faktor keletihan sebagai alasan.

“Ini bukan alasan, jika kami kalah, itu adalah tanggungjawab saya. Saya tidak akan menyalahkan pemain.

“Fokus kami sekarang adalah untuk pulih dan bersedia bagi aksi seterusnya dalam masa tiga hari lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top