am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Lebih 200 penduduk dari kawasan Mukim 6, Jalan 3, Lahar Bubu, di sini mengadakan bantahan secara aman bagi menyuarakan kekecewaan mereka terhadap operasi sebuah kilang ikan yang didakwa menimbulkan pelbagai masalah sejak lima tahun lalu.
Penduduk mendakwa terpaksa berdepan dengan pencemaran bau, air dan bunyi termasuk kehadiran lalat serta serangga selepas kilang terbabit beroperasi dalam kawasan perumahan mereka.
Selain itu mereka bimbang dengan keselamatan, apabila lori muatan berat kerap masuk ke kawasan berkenan yang mendatangkan bahaya dan merosakkan jalan.
Malah penduduk mendakwa kelulusan kebenaran merancang dan pertukaran status zon tanah kediaman kepada zon industri dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
Penduduk, R Asogan, 33, berkata kedudukan rumahnya hanya terletak 1.5 meter (m) dari kilang itu menjadikan kehidupannya terganggu setiap kali premis berkenaan memproses produk mereka.
“Saya tinggal di sini lebih 13 tahun lalu namun sejak adanya kilang beroperasi pada 2020 kehidupan penduduk di sini berubah.
“Kami terpaksa hidu bau busuk setiap hari, bunyi bising berpanjangan malah bimbang dengan keselamatan kami apabila lori kerap masuk di kawasan ini.
“Penduduk hairan bagaimana boleh wujud kilang ini. Kami tidak tolak pembangunan tetapi kawasan perumahan sepatutnya tidak boleh wujud industri,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, persatuan penduduk dekat situ telah menghantar pelbagai surat bantahan untuk campur tangan segera kepada kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) termasuk beberapa agensi berkaitan namun sehingga ini kilang itu tetap meneruskan operasinya.
“Pada permulaannya kilang itu didapati beroperasi tanpa lesen dan mendapat notis pengosongan, sebelum penduduk dimaklumkan pada 2023 bahawa status tanah pembangunan premis itu ditukar dari zon tanah kediaman kepada zon industri yang ia berlaku tanpa pengetahuan penduduk,” katanya yang memaklumkan surat terbaharu dihantar pada 1 September lalu kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar MBSP.
Bagi penduduk, Tam Wooi Yee, 54, berkata beberapa penduduk dari kawasan itu berpindah kerana sudah tidak tahan dengan permasalahan yang berlaku.
“Terdapat lebih kurang 20 rumah yang berada berdekatan kilang. Kami berharap pihak kilang dapat memindahkan operasi mereka ke tempat lebih sesuai,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, berkata pihaknya sudah membawa permasalahan itu ke pihak berkaitan dan Parlimen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




