UK, Australia, Kanada iktiraf negara Palestin

UK, Australia, Kanada iktiraf negara Palestin

London: Britain, Australia dan Kanada pada Ahad mengiktiraf negara Palestin dalam perubahan besar dasar luar Barat selama berdekad, sekali gus mencetuskan kemarahan segera Israel.

Portugal turut dijangka mengiktiraf kenegaraan Palestin lewat Ahad, ketika Israel berdepan tekanan antarabangsa besar berhubung perang di Gaza yang tercetus hampir dua tahun lalu akibat serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Hari ini, bagi menghidupkan kembali harapan keamanan untuk rakyat Palestin dan Israel, serta penyelesaian dua negara, United Kingdom secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin,” kata Perdana Menteri UK, Keir Starmer dalam satu mesej di X.

Britain dan Kanada menjadi negara G7 pertama yang mengambil langkah itu, dengan Perancis serta negara lain dijangka mengikutinya pada Perhimpunan Agung Tahunan PBB yang bermula Isnin di New York.

“Kanada mengiktiraf Negara Palestin dan menawarkan kerjasama kami dalam membina janji masa depan yang aman bagi Negara Palestin dan Negara Israel,” tulis Perdana Menteri Kanada, Mark Carney di X.

Ia menjadi detik bersejarah buat rakyat Palestin dan cita-cita mereka selama berdekad untuk memiliki negara, dengan kuasa besar Barat sebelum ini berpendirian ia hanya boleh berlaku sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang dirundingkan dengan Israel.

Namun langkah ini meletakkan negara-negara berkenaan bertentangan dengan Amerika Syarikat dan Israel, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertindak marah dan berikrar menentangnya pada rundingan PBB.

Seruan menubuhkan negara Palestin “akan membahayakan kewujudan kami dan menjadi ganjaran tidak masuk akal kepada keganasan,” kata Netanyahu pada Ahad.

Semakin banyak sekutu lama mengubah pendirian mereka, tatkala Israel memperhebatkan serangan di Gaza dengan berikrar untuk menghapuskan Hamas Palestin.

Sejak bermulanya konflik, Semenanjung Gaza mengalami kemusnahan besar, angka korban yang melonjak serta kekurangan makanan sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan besar yang mengundang bantahan antarabangsa.

‘Tanggungjawab khas’

Kerajaan UK berdepan tekanan awam yang semakin meningkat untuk bertindak, dengan ribuan orang berhimpun setiap bulan di jalan raya. Satu tinjauan dikeluarkan oleh YouGov pada Jumaat menunjukkan dua pertiga anak muda Britain berusia 18-25 menyokong kenegaraan Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, David Lammy, mengakui di PBB pada Julai bahawa “Britain memikul tanggungjawab khas untuk menyokong penyelesaian dua negara.”

Lebih satu abad lalu, UK memainkan peranan penting dalam merintis penubuhan negara Israel melalui Deklarasi Balfour 1917.

Tiga perempat ahli PBB sudah mengiktiraf kenegaraan Palestin, dengan lebih 140 daripada 193 negara mengambil langkah itu.

Starmer berkata pada Julai bahawa kerajaan Parti Buruh pimpinannya berhasrat mengiktiraf Negara Palestin kecuali Israel mengambil langkah “substansial” termasuk mencapai gencatan senjata di Gaza, membolehkan lebih banyak bantuan memasuki wilayah itu dan mengesahkan ia tidak akan mengilhak Tebing Barat.

Starmer juga berulang kali menyeru Hamas membebaskan baki tebusan yang ditawan dalam serangan 2023, dan dijangka mengumumkan sekatan baharu terhadap pasukan pejuang Palestin itu.

Lammy memberitahu BBC pada Ahad bahawa Pihak Berkuasa Palestin – badan awam yang mentadbir kawasan di Tebing Barat – telah lama meminta langkah itu “dan saya rasa banyak yang berpaut pada harapan.”

“Adakah ini akan memberi makan kepada kanak-kanak? Tidak, itu bergantung pada bantuan kemanusiaan. Adakah ini akan membebaskan tebusan? Itu mesti melalui gencatan senjata.”

Namun beliau berkata ia adalah usaha untuk “terus mempertahankan” penyelesaian dua negara.

Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin memberitahu AFP minggu lalu:

“Pengiktirafan bukanlah simbolik.”

“Ia memberi mesej yang sangat jelas kepada Israel tentang ilusi mereka untuk meneruskan penjajahan selama-lamanya,” tambahnya.

Perkembangan membimbangkan

Serangan Hamas pada 2023 ke atas selatan Israel mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Kempen balas Israel pula telah membunuh sekurang-kurangnya 65,208 orang, juga majoritinya orang awam, menurut angka kementerian kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Portugal berkata ia juga akan secara rasmi mengisytiharkan pengiktirafannya di New York pada Ahad.

“Dengan bertindak sekarang, seperti yang diputuskan kerajaan Portugal, kita mengekalkan kemungkinan wujudnya dua negara,” kata Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top