Tentera, polis nikmati petrol RM1.99 seliter mulai 27 September

Tentera, polis nikmati petrol RM1.99 seliter mulai 27 September

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik keputusan kerajaan yang menetapkan untuk tarikh pelaksanaan harga petrol RON95 bersubsidi lebih awal bagi anggota tentera dan polis.

Pelaksanaan inisiatif itu membolehkan anggota tentera dan polis akan menikmati RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter pada 27 September ini.

Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan lebih awal kepada anggota tentera dan polis itu akan membolehkan kerajaan dapat menilai kesan inisiatif itu.

“Pelaksanaan ini bertujuan sebagai titik permulaan, bermula dengan pihak tentera. Ia masih di peringkat awal dan kita akan menilai kesan serta implikasinya dari semasa ke semasa.

“Apapun, sebagai anggota Kabinet, saya menyokong keputusan ini,” katanya ringkas kepada wartawan selepas majlis penyerahan aset di bawah inisiatif Official Security Assitance (OSA) Jepun, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mulai 30 September ini, Malaysia akan beralih kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk manfaat rakyat.

Menerusi inisiatif itu, rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara pula ditetapkan pada harga RM2.60 seliter.

Semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.

Pada 27 September ini, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300 ribu anggota tentera dan polis.

Pada 28 September, sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang juga golongan berpendapatan rendah (B40).

Pada 30 September, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top