mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian dengan penahanan 24 orang yang menyasarkan mangsa di China dan Jepun, susulan serbuan berasingan di sekitar ibu kota.
Malah sindiket yang terbabit dengan penipuan dalam talian termasuk pelaburan wang kripto menyewa setiap unit kediaman berharga RM7,000 sebulan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan pertama dilakukan jam 4 petang Khamis lalu, oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Dang Wangi, dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Dang Wangi yang menyerbu dua unit kondominium di Lorong Binjai, di sini.
Menurutnya, hasil risikan satu unit digunakan sebagai kediaman manakala satu lagi untuk pusat operasi penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di China.
“Seramai 13 warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 18 hingga 45 tahun ditahan, di mana mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial.
“Kita turut merampas lima komputer riba, 23 telefon bimbit, satu set modem dan satu kad akses,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Sulizmie berkata, suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam serbuan kedua jam 5 petang Jumaat lalu, beliau berkata, pihaknya menyerbu lima unit kondominium mewah di Persiaran KLCC dan menahan 10 warga asing berusia 25 hingga 30 tahun kerana disyaki terbabit dalam skim penipuan pelaburan mata wang kripto menyasarkan mangsa di Jepun.
“Sama seperti kes pertama, beberapa unit digunakan sebagai pusat operasi manakala yang lain berfungsi sebagai tempat penginapan.
“Mereka juga memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial,” katanya.
Menurut Sulizmie, polis merampas lapan komputer riba, dua monitor, 16 telefon bimbit, dua set modem dan tiga kad akses.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga esok,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati mereka yang ditahan baru masuk ke negara ini awal September lalu untuk menjalankan kegiatan penipuan ini.
“Walaupun sindiket ini menyasarkan mangsa di luar negara, kami memohon jasa baik penduduk kondominium mewah di Kuala Lumpur untuk segera maklumkan jika mereka mendapati kumpulan besar warga asing berpindah masuk secara mencurigakan.
Beliau berkata, pasport yang dirampas daripada suspek akan disahkan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




