harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad secara percuma mulai esok hingga 7 Oktober.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia boleh dilakukan di mana-mana kaunter JPN seluruh negara.
“Ingin saya tegaskan Kerajaan MADANI prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan terjejas hanya kerana masalah teknikal.
“Ini bagi memastikan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad diterima sejak Januari hingga Ogos atas sebab cip atau kad rosak.
Katanya, trend permohonan meningkat ketara sejak tiga bulan lalu bermula Jun sebanyak 32,819 permohonan, Julai (40,371), dan Ogos (45,411).
“Dari awal September sehingga semalam, JPN menerima sebanyak 22,858 permohonan dan berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.
“Jadi, penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September sehingga 7 Oktober 2025 ini dianggarkan membabitkan kos RM714,660 termasuk kos-kos lain yang berkaitan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




