am@hmetro.com.my
Baling: Dua anggota polis ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, dua anggota polis terbabit berusia 24 dan 27 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita warga emas berusia 74 tahun jam 1.15 pagi Sabtu lalu.
Katanya, warga emas itu memaklumkan anak lelakinya berusia 32 tahun pulang ke rumah pada jam 7 petang Jumaat lalu memaklumkan dia ditahan polis.
“Ketika itu anaknya menunggang motosikal dan mendakwa polis merampas telefon bimbit selain meminta sejumlah wang RM200 untuk mengambil semula telefon berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika si ibu dan anaknya hendak menghantar wang itu, lelaki itu terjatuh dan tidak sedarkan diri.
“Wanita warga emas itu kemudian menghubungi pihak Klinik Kesihatan Parit Panjang untuk tujuan pemeriksaan namun petugas kesihatan mengesahkan anaknya sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Salimi berkata, bertindak atas maklumat awal, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling ke lokasi tempat kejadian iaitu rumah si mati jam 11.30 malam Sabtu lalu.
Siasatan mendapati tiada kesan kecederaan pada mana-mana anggota tubuh mangsa atau unsur jenayah.
Beliau berkata, jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menjalani bedah siasat bagi mengenali pasti punca kematian lelaki berkenaan.
“Hasil siasatan polis mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia akibat mati mengejut (SDR).
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan oleh ‘Acute Myocardial Infarction’ atau serangan sakit jantung yang mendadak serta tiada apa-apa kesan kecederaan serta unsur jenayah,” katanya.
Ahmad Salimi berkata, berikutan polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan menahan dua anggota polis terbabit untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati, kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka mendapati bebas dadah.
“Kedua-dua suspek direman dua hari untuk membantu siasatan bermula semalam hingga hari ini.
“Kes disiasat atas kesalahan pemerasan dan kertas siasatan tatatertib sudah pun dibuka dan siasatan terperinci dilakukan terhadap kedua-dua anggota polis berkenaan untuk memberikan keadilan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




