300 keluarga terima sumbangan raya Yayasan Petronas – Utusan Digital

MELAKA: Yayasan Petronas bersama Petronas Wilayah Selatan mengedarkan bantuan bekalan makanan dan kit penjagaan kebersihan diri kepada 300 keluarga menerusi Program Sentuhan Kasih Aidilfitri 2021.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, sumbangan tersebut diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut beliau, sejumlah RM45,000 bekalan makanan seperti beras, beras pulut, minyak masak, gula, garam, sardin, telur, susu pekat, kuih raya dan kit penjagaan kebersihan diedarkan kepada keluarga yang kurang bernasib baik termasuk ibu bapa tunggal dan komuniti kurang upaya yang dikenal pasti oleh JKM.

“Bantuan diberikan kepada 150 keluarga di Melaka Tengah dan bakinya di Alor Gajah. Penyerahan bantuan akan dilaksanakan oleh JKM daerah masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada bidang tumpuan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat Yayasan Petronas.

Sementara itu, penerima bantuan, Jemilah Said, 75, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Petronas.

Katanya, dia hanya mengutip botol dan kotak terpakai sejak 30 tahun lalu untuk menyara diri dan dua orang cucu.

“Saya jarang membuat persiapan raya dan baju raya pun selalunya orang yang bagi. Kalau ada rezeki, ada lah,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Yan Salleh, 51, berkata, bantuan yang diterima membolehkan empat cahaya matanya menikmati kuih raya pada Aidilfitri ini.

“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori disebabkan faktor umur dan kesihatan. Isteri, Siti Ai’sah Md. Sedik, 39, turut membantu menyara keluarga dengan berniaga di gerai dan bazar Ramadan memandangkan anak-anak masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya yang kini berkerja sebagai tukang kebun.

Scroll to Top