Beberapa jalan ditutup sementara, beperingkat sempena LTdL 2025

Beberapa jalan ditutup sementara, beperingkat sempena LTdL 2025

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa jalan akan ditutup sementara dan berperingkat di semua laluan utama serta lencongan sepanjang penganjuran perlumbaan basikal Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 edisi ke-29, bermula 28 September hingga 5 Oktober ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 164 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kawalan trafik lancar ketika perlumbaan terbabit.

“Semua petugas akan ditempatkan di setiap laluan utama serta kawasan bandar yang terlibat dalam lapan peringkat perlumbaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Orang ramai yang ingin menyaksikan perlumbaan diminta untuk sentiasa mematuhi arahan petugas keselamatan dan tidak berada terlalu dekat dengan laluan perlumbaan bagi mengelakkan risiko kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, perlumbaan LTDL bermula di Langkawi, Kedah dan akan berakhir di Menara Berkembar Petronas, membabitkan penyertaan 132 pelumba daripada 22 pasukan, merentasi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

“JSPT turut menyeru seluruh masyarakat agar memberikan kerjasama padu bagi memastikan kelancaran penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Senarai laluan rasmi perlumbaan ialah:

Peringkat 1

Tarikh: 28 September

Laluan: Langkawi (Padang Mat Sirat)

Peringkat 2

Tarikh: 29 September

Laluan: Padang Besar-Kepala Batas

Peringkat 3

Tarikh: 30 September

Laluan: Gerik-Pasir Puteh

Peringkat 4

Tarikh: 1 Oktober

Laluan: Kuala Terengganu-Kemaman

Peringkat 5

Tarikh: 2 Oktober

Laluan: Temerloh-Bukit Fraser

Peringkat 6

Tarikh: 3 Oktober

Laluan: Shah Alam-Port Dickson

Peringkat 7

Tarikh: 4 Oktober

Laluan: Melaka-Medini (Johor)

Peringkat 8

Tarikh: 5 Oktober

Laluan: Tangkak-Kuala Lumpur (Menara Berkembar Petronas)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top