Penyanyi Datuk Nora Ariffin akhirnya tampil membuka mulut susulan pelbagai kontroversi timbul melibatkan kenyataan yang dikeluarkan anaknya, Puteri Dahlia baru-baru ini.
Kata Nora, sebagai ibu dia sentiasa memberikan nasihat yang baik dan tidak pernah berputus asa mendoakan segala kebaikan buat anak-anaknya.
Malah, pelantun lagu ‘Dipersimpangan Dilema’ itu menjelaskan bahawa hidayah itu adalah milik Allah SWT.
“Bismillah, hidayah itu milik Allah SWT.
“Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan memberikan nasihat yang baik-baik dan tidak pernah berputus asa berdoa memohon segala kebaikan untuk anak-anak.
“Allah sahaja yang tahu apa yang kami lalui,” katanya.
Perkara itu dikongsi Nora menerusi hantaran di ruangan Instagram Story (IGS) pada Selasa.

Enggan memanjangkan isu tersebut, Nora menegaskan, buat masa ini dia hanya mampu berdoa kepada Allah agar anak-anaknya diberikan hidayah serta pedoman untuk kembali ke pangkal jalan.
“Buat masa ini saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT agar mereka diberikan hidayah serta pedoman untuk kembali ke pangkal jalan. Insyaa-Allah. Terima kasih semua,” jelasnya.
Terdahulu, kehadiran Puteri Dahlia di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 menyorot perhatian ramai apabila dia tampil dengan imej baharu tanpa tudung buat kali pertama di khalayak ramai.
Jelasnya, keputusan membuka hijab bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil daripada proses panjang mencari diri dan makna sebenar dalam kehidupan serta agama.
“Saya mula bertudung sejak usia enam tahun, tapi dalam tempoh itu saya sedar saya hanya ikut orang dan tak pernah benar-benar belajar agama sendiri. Saya pakai tudung, tapi hati saya kosong. Sekarang saya nak mulakan sesuatu yang baharu, saya nak cari jalan sendiri untuk lebih dekat dengan Allah SWT,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:“Saya Pakai Tudung, Tapi Hati Saya Kosong” – Anak Nora Ariffin Kini ‘Free Hair’, Mahu Dikenali Sebagai Dahlia




