Meta Gagal Banteras Jenayah Dalam Talian – Menteri Komunikasi

Meta Gagal Banteras Jenayah Dalam Talian – Menteri Komunikasi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegur gergasi media sosial, Meta kerana masih gagal memberi kerjasama penuh dalam membanteras jenayah siber di platform-platform milik mereka.

Jika tahap kerjasama Meta tidak dipertingkatkan, Fahmi menegaskan pihaknya akan mempertimbangkan tindakan lanjut kerana perkara itu menjejaskan usaha pihak berkuasa melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian.

Beliau berkata, setakat 19 September lalu, sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan Facebook telah dikemukakan kepada Meta.

Jumlah itu mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial, menjadikan Facebook sebagai platform dengan aduan tertinggi, katanya.

Jelas Fahmi, daripada jumlah itu, 120,127 permohonan adalah berkaitan judi dalam talian namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.

Katanya, bagi aktiviti scam pula, daripada 37,722 permohonan penurunan dibuat, sebanyak 36,918 diturunkan dengan bakinya masih kekal berlegar di Facebook, sekaligus menimbulkan kebimbangan serius.

Fahmi Fadzil tidak berpuas hati dengan Meta yang masih gagal beri kerjasama penuh perangi jenayah siber

“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform milik Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp dalam tempoh 2023 hingga Ogos 2025 mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes.

“Jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

“Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun Fahmi menambah, Meta telah memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Meta dan semua platform media sosial lain telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan seperti pengunaan MyKad dan MyDigital ID.

Katanya, ia bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun kerana sistem sedia ada masih gagal menyekat kelompok itu sekali gus gagal melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai.

Meta bakal berdepan tindakan tegas jika gagal tingkatkan kerjasama atasi jenayah siber

“Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital.

“Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara dapat diturunkan.

“Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah-langkah pemantauan, serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta,” tegasnya.

Fahmi membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam.

Pertemuan memberi fokus kepada isu-isu kritikal membabitkan platform Meta, khususnya Facebook, termasuklah aktiviti judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan bersifat 3R (Agama, Kaum, Institusi Raja) serta penjualan produk terlarang (cecair e-rokok mengandungi dadah).

Mesyuarat turut disertai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Pengarah JSJK PDRM, wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).


Scroll to Top