Itali antara pembekal utama tomato diproses bagi pasaran Malaysia

Itali antara pembekal utama tomato diproses bagi pasaran Malaysia

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Itali muncul sebagai antara pembekal utama tomato diproses ke Malaysia apabila mencatat eksport bernilai €1.8 juta (kira-kira RM1.8 juta) bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, sekali gus meletakkan negara itu sebagai sumber kedua terbesar dalam kategori berkenaan.

Setiausaha Kedua Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, Francesco Pezzarossi berkata, berdasarkan data Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, Malaysia secara keseluruhan mengimport produk tomato diproses bernilai €8.58 juta (RM42.5 juta) sepanjang tempoh itu.

Katanya, ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap bahan masakan premium seiring perkembangan industri makanan dan minuman (F&B) tempatan.

“Eksport global tomato diproses Itali bagi tempoh sama mencecah €1.17 bilion (RM5.7 bilion), dengan Asia Tenggara kini muncul sebagai pasaran pertumbuhan baharu.

“Permintaan terhadap tomato premium semakin meningkat seiring pertumbuhan industri restoran dan minat pengguna terhadap bahan masakan berkualiti tinggi.

“Ini kerana tomato Itali menawarkan rasa yang konsisten, piawaian keselamatan makanan yang ketat serta nilai tambah kepada pemain industri makanan tempatan,” katanya pada majlis pelancaran kempen eTomAato: European Tomato, A Red Passion di pameran Food & Hospitality Malaysia (FHM) 2025, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Italian Trade Agency (ITA), Dr Angela Donvito berkata, inisiatif perdagangan baharu yang digerakkan Kesatuan Eropah (EU) dilihat mampu memperkukuh hubungan agrimakanan antara kedua-dua rantau, sekali gus membuka peluang kerjasama teknologi, keselamatan makanan dan inovasi kulinari.

“Produk Itali bukan saja mengekalkan rasa konsisten, malah menawarkan piawaian keselamatan yang diiktiraf antarabangsa, menjadikan Malaysia pasaran strategik bagi pengeluar Eropah,” katanya.

Dalam pada itu, kempen eTomAato turut menekankan kerjasama jangka panjang dengan Malaysia dan langkah itu dilihat mampu melonjakkan daya saing Malaysia dalam pasaran serantau menerusi inovasi kulinari.

Dengan pelancaran rasmi di Malaysia, eTomAato akan dijadikan batu loncatan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan hubungan dagangan agrimakanan antara EU dan Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top