am@hmetro.com.my
Shah Alam: Bergiat aktif selama tiga bulan lalu dengan berselindung di sebalik gudang-gudang yang beroperasi dalam kawasan perindustrian untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Itu tindakan yang dilakukan dua sindiket yang berbeza dalam menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran barang-barang kontraban bernilai lebih RM2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M.Kumar berkata, JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Negeri Sembilan berjaya melumpuhkan dua sindiket yang bergiat aktif itu menerusi satu Op Kontraban pada 18 hingga 22 September lalu.
“Sebanyak enam serbuan dibuat di enam gudang, satu di Negeri Sembilan dan lima di Selangor dan polis menangkap sembilan individu membabitkan lapan orang lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 19 hingga 58 tahun.
“Semua tangkapan ini terbabit dalam peranan sebagai penjaga premis, pekerja am dan orang yang membawa lori-lori atau kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok dan arak terbabit.
“Enam yang ditangkap adalah warga tempatan dan tiga orang warga negara asing iaitu Myanmar. Dua daripada warga tempatan didapati mempunyai rekod sabitan jenayah termasuk memiliki senjata berbahaya dan dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor, di sini hari ini.
M Kumar berkata, menerusi enam serbuan terbabit polis merampas 4,720 karton rokok putih dan keretek dianggarkan RMRM1.014 juta, 412 karton pelbagai bir dianggarkan bernilai RM185,963 dan 124 karton berbagai jenis minuman keras dianggarkan bernilai RM854,450.14
“Polis juga merampas beberapa kenderaan iaitu Toyota Camry, Toyota Harrier Toyota Innova, Perodua Alza dan lori jenis Mitsubishi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan rokok, arak dan kenderaan dianggarkan bernilai RM2,412,653.14.
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendedahkan, sindiket ini menggunakan jalan-jalan yang tidak diwartakan atau jalan-jalan tikus untuk membawa barang-barang terbabit dan dipercayai barang-barang ini dibawa daripada negara-negara jiran dan untuk diedarkan di pasaran tempatan.
“Pengedaran di dalam negara dipercayai membabitkan warga tempatan dan warga asing, barang-barang ini untuk pasaran tempatan dan semua beberapa kedai dikenal pasti termasuk kedai runcit juga kedai Acheh.
“Siasatan mendapati sindiket berselindung di bawah tempat-tempat atau gudang-gudang yang beroperasi dalam kawasan perindustrian untuk mengaburi mata penguatkuasa. Operasi yang dijalankan macam operasi perniagaan biasa sahaja tetapi dalam gudang itu memang adalah barang-barang kontraban ini.
“Polis dalam proses mengenalpasti tuan punya gudang sekiranya sewa atau dimiliki oleh ahli kumpulan sindiket atau sebaliknya. Semua siasatan sedang berjalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




