Curi barangan RM2,000, pempengaruh kena pakai 'tag' elektronik

Curi barangan RM2,000, pempengaruh kena pakai 'tag' elektronik

Singapura: Pempengaruh Genie Yamaguchi perlu memakai alat pengesan elektronik dan kekal berada di dalam rumah dari jam 10 malam hingga 6 pagi setiap hari sebagai sebahagian daripada hukumannya kerana kesalahan mencuri barangan kedai di sini, baru-baru ini, lapor The Straits Times.

Wanita berusia 30 tahun itu pada Selasa lalu dikenakan perintah lapor diri harian (DRO) selama tiga bulan.

Ini adalah hukuman alternatif selain denda atau penjara, yang mana pesalah perlu melaporkan diri ke pusat laporan harian secara berkala.

Yamaguchi yang memiliki perkhidmatan mengawet bunga dan klinik estetika kecantikan sebelum ini mengaku bersalah mencuri barangan bernilai kira-kira 600 dolar Singapura (kira-kira RM2,000) dari pasar raya Don Don Donki di Orchard Central.

Dokumen mahkamah menunjukkan Yamaguchi dan rakannya, Lee Suet Keay Cheryl, berada di pasar raya itu pada 25 Ogos 2024, kira-kira 2.30 pagi.

Kedua-dua mereka memasukkan 27 barangan ke dalam troli dan meninggalkan kedai tanpa membuat pembayaran. Barangan yang dicuri termasuk produk kecantikan, beg dan makanan yang berjumlah 628.90 dolar Singapura (kira-kira RM2,000).

Seorang kakitangan pasar raya yang melihat mereka mencuri barangan itu memaklumkan pengurusnya mengenai kejadian itu dan laporan polis dibuat. Perbuatan mencuri itu turut dirakam oleh kamera keselamatan.

Yamaguchi ditahan di rumahnya pada 3 September 2024.

Dalam prosiding sebelum ini, peguamnya, Joyce Khoo, memberitahu mahkamah bahawa Yamaguchi sudah membayar ganti rugi kepada Don Don Donki untuk barangan berkenaan.

Pihak pendakwaan menyatakan bahawa dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memohon penilaian untuk menentukan kesesuaian Yamaguchi untuk dikenakan DRO.

Selasa lalu, Khoo berkata, anak guamnya amat menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top