Haneesya buka buku baharu, ambil keputusan guna nama asal

Haneesya buka buku baharu, ambil keputusan guna nama asal

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Haneesya Hanee, 25, kini mengambil keputusan menggunakan nama sebenarnya iaitu Sharifah Haneesya sebagai pembuka buku baharu dalam kariernya.

Haneesya berkata, keputusan dibuat selepas mendengar pandangan ibunya yang mencadangkan agar menggunakan nama asalnya.

“Semua orang tahu nama Sharifah itu nama keturunan, nama keluarga. Jadi waktu itu saya tak nak bawa nama keluarga sebab ayah saya tak pernah membesarkan saya.

“Dia memang tak ada ‘in the picture’ langsung. Jadi saya macam, buat apa saya nak kena naikkan nama keluarga.

“Baik saya fokus pada nama yang diberikan emak iaitu Haneesya. Dulu orang panggil saya Hanee. Bila disebut banyak kali ia jadi Haneesya Hanee,” katanya ditemui ketika hadir pada sidang media pengumuman kembalinya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 37 secara langsung dalam program Melodi di Balai Berita di sini, malam tadi.

Pelakon drama Aku Bukan Ustazah 2 ini berkata, selepas terbabit dengan podcast No Filter Kak Lina, dia melepaskan segala-galanya dan perkara ini disedari ibunya.

“Walaupun dah lepaskan semua dan nampak lega tapi bagi mummy masih ada sesuatu yang tak okey dengan saya. Jadi mummy lah yang cadangkan.

“Saya fikir-fikir balik sebab iyalah emak dah sebut kan. Kalau mak dah sebut itu mesti petanda daripada Allah. Ok tak apa, saya siap solat untuk dapat jawapan.

“Dan agak mengejutkan, masya- Allah bila lepas tukar nama itu, tak tahulah dia rasa macam hidup kembali, rasa macam lahir orang baru. Padahal itu memang nama saya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Haneesya mengakui gembira dan teruja apabila dicalonkan dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular ABPBH bersama 19 calon lain.

Sebelum ini dia pernah memenangi kategori Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH 32 pada 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top