Malaysia capai 30 peratus kapasiti tenaga boleh baharu, hampiri sasaran 2025

Malaysia capai 30 peratus kapasiti tenaga boleh baharu, hampiri sasaran 2025

kartika@mediaprima.com.my

Shah Alam: Malaysia kini sudah mencapai 30 peratus tenaga boleh baharu (TBB) dalam campuran kapasiti kuasa negara, sekali gus menghampiri sasaran 31 peratus menjelang 2025 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu membuktikan pelaksanaan NETR berada pada landasan kukuh, selain mencerminkan komitmen kerajaan meningkatkan keupayaan tenaga hijau negara.

“Malaysia hampir mencapai keseluruhan sasaran kapasiti TBB dalam campuran tenaga elektrik yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini melalui kerjasama erat sektor awam, swasta serta pelabur antarabangsa,” katanya kepada media di Majlis Perasmian Projek Solar Kediaman di bawah Program CREAM, di sini hari ini.

Sime Darby Property dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), menjadi syarikat pertama di Malaysia yang memanfaatkan tenaga solar untuk komuniti di bawah NETR.

Inisiatif itu di bawah Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM) yang diperkenalkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Mac 2025. 

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Malaysia menyasarkan peningkatan campuran kapasiti terpasang daripada 29 peratus kepada 35 peratus menjelang 2030.

Ini selaras hasrat negara melaksanakan sistem pasaran tenaga elektrik lebih inovatif berasaskan kos sebenar penjanaan, termasuk TBB, selari agenda ekonomi hijau yang menjadi teras pembangunan mampan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sementara itu, Fadillah berkata, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) berjaya menarik pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM25 bilion pelaburan daripada sektor awam dan swasta, sejak dilancarkan pada Julai 2023.

Katanya, kerajaan juga sudah meluluskan tambahan sekurang-kurangnya 5.5 gigawatt (GW) kapasiti TBB yang diterjemahkan kepada nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM20 bilion, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian sasaran yang digariskan dalam NETR.

“Dana permulaan bernilai RM2 bilion juga diperuntukkan bagi merancakkan projek berkaitan, selain sudah menggubal Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga 2023.

“Kerajaan juga sudah membentangkan Rang Undang-undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 bagi tujuan sama dan beberapa inisiatif utama lain juga sedang dilaksanakan, antaranya proses perolehan bagi loji solar PV berskala besar berjumlah 4,000 megawatt (MW) di bawah pusingan bidaan kompetitif kelima dan kelima+ yang sudah selesai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top