Baik pulih kediaman di Putra Heights capai 85 peratus.

Baik pulih kediaman di Putra Heights capai 85 peratus.

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: Kemajuan pembinaan semula dan baik pulih kediaman yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran paip gas bawah tanah pada April lalu di Putra Heights kini mencapai 85 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mohd Jamil Idris berkata, sebanyak 18 kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru terbabit dalam proses itu di mana 11 daripadanya melalui proses bina semula manakala bakinya adalah baik pulih.

Beliau berkata peruntukan dipersetujui sebelum ini adalah maksimum RM300,000 bagi rumah bina semula manakala baik pulih pula maksimum RM150,000.

“Minggu lepas, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan lawatan kerja ke tapak di mana kita berjaya menyiapkan tiga rumah bina semula dan empat rumah baik pulih.

“Kita sasarkan untuk baik pulih disiapkan hujung bulan ini manakala bina baru pula pada minggu pertama Oktober ini,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis doa selamat dan penyerahan kunci rumah kepada mangsa kebakaran melalui insiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SPNB di Blok Q, Sawah Sempadan, di sini.

Terdahulu, majlis dirasmikan Pengerusi SPNB, Prof Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila yang turut dihadiri Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri.

Pada 1 April lalu, insiden kebakaran saluran paip gas bawah tanah itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius, menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar dan 21 rumah tidak terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top