London: Keluarga mendiang Diogo Jota menerima bayaran penuh bernilai £14.5 juta (RM86.4 juta) daripada baki kontraknya bersama Liverpool selepas penyerang itu maut dalam kemalangan jalan raya Julai lalu.
Bintang Portugal itu meninggal dunia bersama adiknya, Andre Silva, dalam nahas berkenaan, meninggalkan isteri, Rute Cardoso dan tiga orang anak mereka.
Jota ketika itu menerima gaji sekitar £140,000 (RM834,000) seminggu dengan baki kontrak dua tahun yang sepatutnya tamat pada 2027.
Pengurus Liverpool, Arne Slot mengesahkan kontrak itu tetap dihormati pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG).
“Mungkin orang fikir perkara ini normal, tetapi sebenarnya tidak dalam bola sepak. Pemilik sering dikritik, sama seperti pengurus, tetapi cara mereka tangani situasi ini dengan membayar semua wang kontrak kepada isteri dan anak-anaknya memang wajar dipuji,” kata Slot.
Selepas pemergian Jota pada awal Julai, Slot memulakan perbelanjaan besar bernilai £426 juta (RM2.53 bilion) yang menyaksikan kehadiran penyerang baharu, Hugo Ekitike dan Alexander Isak dengan jumlah keseluruhan £199 juta (RM1.18 bilion).
“Malangnya kami perlu bawa masuk seorang pemain lebih daripada perancangan asal, sebab itu perbelanjaan lebih tinggi daripada dijangka.
“Kesedihan yang melanda seluruh bandar Liverpool itulah yang membuatkan saya rasa amat istimewa untuk bekerja di kelab ini. Untuk berada di kelab yang bukan sahaja meraikan kejayaan dan perarakan, tetapi ketika berduka, perasaan itu jauh lebih bermakna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




