'Saya tahu berdosa tetapi saya terdesak'

'Saya tahu berdosa tetapi saya terdesak'

harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Helah wanita warga Indonesia bersembunyi di bawah katil bagi mengelak ditahan pihak berkuasa hanya sia-sia selepas rambutnya kelihatan dari celah-celah tilam.

Wanita berusia 20-an itu kemudian ditahan bersama 76 wanita warga asing lain dalam Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Operasi ke atas tujuh pusat refleksologi termasuk di Seri Kembangan selepas disyaki menawarkan perkhidmatan tambahan yang tidak bermoral kepada pelanggan.

Sementara ibu tunggal dikenali Ria, 27, pula mendakwa melakukan kerja itu kerana terdesak bagi menyara anak berusia enam tahun di kampung halaman di Indonesia selepas ditinggalkan oleh suaminya.

“Saya tahu berdosa tetapi saya terdesak, kerja di sini saya boleh dapat dalam RM2,000 ke RM3,000 sebulan, seorang pelanggan saya dapat RM80.

“Saya dapat kerja ini daripada kawan-kawan juga, mula-mula datang saya bekerja sebagai bibik (pembantu rumah) tetapi dibuang kerja, jadi terpaksa buat kerja macam ini, keluarga tidak tahu,” katanya yang ditemui di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Seorang lagi wanita Indonesia yang ditahan pula mendakwa terpaksa melakukan pekerjaan tidak senonoh itu kerana terdesak selepas ditipu rakan senegara selepas tiba di negara ini pada awal tahun ini.

“Di kampung saya sudah ada sebuah salun. Saya datang sini untuk cari duit tambahan tetapi kena tipu dengan kawan pula.

“Saya terpaksa bekerja begini kerana tak ada duit mahu pulang. Semalam saya baru berdoa supaya saya ditangkap (supaya dapat diusir pulang). Hari ini betul-betul kena tangkap,” katanya.

Terdahulu, JIM menahan 86 warga asing terdiri daripada 76 wanita dan 10 lelaki menerusi Ops Gegar di tujuh premis di sekitar Lembah Klang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top