Mahu pelbagai perabot cantikkan rumah

Mahu pelbagai perabot cantikkan rumah

hafizithnin@mediaprima.com.my

PASANGAN suami isteri Sahamir Saadun dan Kalsom Ismail, masing-masing berusia 40 tahun ini meletakkan syarat tertentu kepada pereka hiasan dalaman iaitu mengekalkan perabot sedia ada dan perlu diadunkan dengan satu konsep yang bakal diwujudkan.

Kalsom berkata, dia dan suami sudah membeli kediaman jenis teres dua tingkat di Serendah, Selangor itu sejak 2020 dan pada tahun ini baharu bercadang untuk mendekorasi kediaman mereka.

Jelasnya, dalam tempoh lima tahun itu dia dan suami sudah membeli pelbagai kelengkapan rumah seperti perabot dan mula terfikir untuk mendekorasinya pada tahun ini dengan menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman.

“Sebenarnya dalam tempoh lima tahun selepas mendapat kunci, saya dan suami memang ada melihat pelbagai jenis hiasan dalaman yang diketengahkan pereka.

“Pada masa yang sama, kami juga sudah membeli pelbagai jenis perabot. Jadi, memilih pereka hiasan yang boleh mengadunkan perabot sedia ada adalah sesuatu yang perlu dilakukan pereka hiasan dalaman yang bakal dilantik,” katanya.

Jelasnya, dia dan suami tidak kisah berkenaan konsep atau tema. Asalkan, kediaman yang sudah dihias sedap mata memandang dan memberi keselesaan kepada mereka.

“Apabila kami bertanya kepada pereka hiasan dalaman yang dilantik, mereka melihat perabot kami dan bersetuju untuk mewujudkan konsep hiasan dalaman moden kontemporari.

“Perkara ini kerana ia sesuai dengan perabot yang sudah kami miliki. Pereka hiasan yang dilantik kami juga tidak mengambil masa yang lama untuk kerja-kerja penataan iaitu sekitar tiga minggu sahaja,” katanya.

Kata Kalsom, dalam tempoh berurusan untuk memuktamadkan konsep hiasan dalaman yang bakal diwujudkan bersama pereka hiasan, dia diberikan beberapa jenis pilihan tema dan konsep.

“Seperti kami katakan, kami tidak kisah berkenaan konsep itu, asalkan ia nampak kemas dan selesa serta perabot sedia ada boleh digunakan kembali.

“Jadi, pereka hiasan dalaman mencadangkan tema moden kontemporari dan menggunakan warna-warna lembut sebagai latar utama di dalam kediaman,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka hasil kerja kurang tiga minggu yang dilakukan pereka hiasan dalaman itu amat berbaloi dengan bayaran sekitar RM90,000 yang dikenakan kerana kediaman mereka berubah 100 peratus.

“Pereka hiasan dalaman kami mendekorasi keseluruhan rumah kecuali dapur, satu bilik di bawah dan bilik air. Ruang tamu, ruang makan, tiga bilik dan laluan masuk didekorasi,” katanya.

Katanya, konsep moden kontemporari yang diwujudkan juga amat terserlah di setiap ruang kerana dia dan suami terasa seperti berada di dalam ruang hotel.

“Bilik utama kami dilengkapi dengan pelbagai kabinet dan ruang kerja menjadikan ruang privasi itu amat eksklusif untuk saya dan suami.

“Bilik anak juga dengan rona hijau dijadikan sebagai titik fokal turut menarik kerana ia kelihatan amat kemas dan selesa apabila anak-anak berada di dalam ruang itu,” katanya.

Katanya, meskipun menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman, dia amat mementingkan komunikasi dengan pereka hiasan yang dilantik supaya cita rasa mereka sekeluarga dapat diabadikan di dalam kediaman yang bakal dihias.

“Sepanjang proses untuk memuktamadkan konsep dan warna, kami begitu senang berkomunikasi dengan pereka hiasan dalaman kerana dia memahami cita rasa kami sekeluarga walaupun saya tidak meletakkan tema khusus untuk mereka.

“Bagi saya kreativiti dan ketelusan dalam berkerja amat penting sekiranya ingin menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top