saufi@mediaprima.com.my
Jika dahulu ramai anak muda lebih selesa mencari pekerjaan di bandar, kini semakin ramai yang mula kembali ke kampung untuk menceburi bidang pertanian moden.
Mungkin ada persepsi bahawa anak muda tidak gemar ‘bermain tanah,’ dibakar panas mentari dan bermandikan peluh, tetapi semua itu asam garam bergelar petani moden.
Antara anak muda yang menyahut cabaran bergelar petani moden ialah Mohd Firdaus Saad, 31, yang membuktikan sektor agro bukan sekadar menjanjikan pendapatan yang baik, malah mampu memberikan kepuasan apabila diusahakan dengan tekad dan ilmu.
Mohd Firdaus mula mengusahakan tanaman cili pada 2016 di Changkat Rambai, Kampung Gajah, Perak.
Bermula dengan hanya 500 polibeg yang ditanam secara konvensional bersama empat rakan, beliau akui langkah awal itu penuh cabaran.
“Ketika mula-mula saya serta rakan mula menanam cili ini, kami hanya guna kaedah konvensional.
“Hasilnya tidak menentu kerana kawalan nutrien dan serangan penyakit sukar dikawal, tetapi daripada situlah datang pengalaman.
“Kami kemudian memilih untuk beralih kepada sistem fertigasi iaitu kaedah moden yang membolehkan baja larut air disalurkan terus ke akar melalui paip kecil,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah dapat memastikan setiap pokok menerima nutrien secukupnya.
Ketika ditanya mengapa memilih cili berbanding tanaman lain, menurutnya, idea untuk menanam cili timbul kerana sayur itu mempunyai harga pasaran yang lebih stabil berbanding sayuran lain.
Katanya, permintaan juga tinggi sepanjang tahun kerana cili adalah bahan asas dalam masakan masyarakat di negara ini.
“Harga cili lebih tinggi dan tidak terlalu terikat dengan musim, itu yang buat kami yakin untuk teruskan.
“Kini, selepas hampir sembilan tahun bergelumang dengan tanah, kami berjaya memperluaskan operasi kepada 2,000 polibeg dan bercadang menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Setakat ini, hasil tanaman cili ini dapat memenuhi permintaan pasaran di sekitar Perak Tengah,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohd Firdaus menyatakan perjalanan sembilan tahun itu juga turut diselangi dengan cabaran besar.
“Sekitar 2020 menjadi detik paling sukar apabila lebih 2,000 pokok cili miliknya musnah akibat penyakit.
“Serangan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian, malah melemahkan semangat kerana tanaman yang dijaga rapi selama berbulan-bulan terpaksa dimusnahkan tanpa sempat dituai.
“Memang perit, dalam beberapa bulan kita jaga pokok, tiba-tiba semuanya terpaksa dibuang,” katanya.
Bertitik tolak daripada insiden itu, Mohd Firdaus dan rakannya mempelajari sesuatu yang berharga iaitu kaedah kawalan penyakit untuk tanaman yang diusahakan.
Sejak itu, katanya, tanaman yang diusahakan mula menekankan aspek kawalan penyakit daripada peringkat awal termasuk penggunaan benih berkualiti, kawalan kelembapan serta pemantauan rapi terhadap serangan kulat dan bakteria.
Untuk rekod, penyakit seperti layu bakteria (Ralstonia solanacearum) dan antraknos (Colletotrichum spp) antara ancaman utama tanaman cili.
Berdasarkan Jabatan Pertanian, penyakit ini boleh mengakibatkan kerugian besar jika tidak dicegah.
Antara langkah yang disarankan termasuk penggunaan media tanaman (bahan dasar) yang bersih, sistem pengairan terkawal serta semburan racun kulat atau biologi pada peringkat awal.
Selain itu, faktor cuaca panas dan hujan tidak menentu turut memberi kesan kepada tanaman cili.
Pokok yang terdedah kepada hujan berlebihan mudah rosak, manakala cuaca panas melampau boleh menjejaskan pertumbuhan.
Pokok cili lazimnya mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum boleh dituai hasilnya.
Dalam tempoh itu, penjagaan rapi amat penting termasuk penyiraman, pembajaan, kawalan serangga dan pemangkasan.
Menerusi sistem fertigasi, produktiviti pokok cili boleh mencecah antara dua hingga tiga kilogram (kg) sepokok sepanjang musim.
Jika dikira dengan 2,000 polibeg, potensi hasil adalah sekitar empat hingga enam tan, bergantung kepada pengurusan ladang.
Pada masa sama, Mohd Firdaus mengakui beliau menerima sokongan daripada Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam bentuk khidmat nasihat serta bantuan peralatan.”Agensi kerajaan banyak bantu daripada segi teknikal, tunjuk cara terbaik kendalikan fertigasi dan kawalan penyakit, kalau kita ikut panduan, insya-Allah hasil lebih baik,” katanya.
Mohd Firdaus percaya pertanian adalah bidang yang mampu memberi pendapatan jika diusahakan dengan kesungguhan.
Baginya, anak muda tidak wajar takut mencuba kerana sektor agro kini semakin moden dengan penggunaan teknologi pintar.
“Sebagai anak muda kita perlu cekal dan jangan cepat berputus asa.
“Hasil tidak datang sekelip mata, tetapi kalau sabar dan konsisten, usaha pasti membuahkan kejayaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




