Palhinha selamatkan Spurs saat akhir

Palhinha selamatkan Spurs saat akhir

London: Thomas Frank menyifatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai “tidak mengenal belas kasihan” selepas pasukannya, Tottenham, terpaksa menunggu sehingga jaringan masa kecederaan Joao Palhinha untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang Wolves yang menghuni tangga tercorot, semalam.

Pasukan pelawat yang tewas dalam lima aksi liga sebelum ini, berada di landasan untuk meraih kemenangan menerusi jaringan Santiago Bueno pada minit ke-54.

Namun, Palhinha muncul wira buat Spurs dengan penyudah cemerlang empat minit selepas masa tambahan untuk memastikan satu mata dikutip tuan rumah.

Tottenham kini naik ke tangga ketiga liga biarpun hanya memenangi satu daripada empat perlawanan terakhir.

“Sudah tentu kami mahu tiga mata, tetapi sekurang-kurangnya dapat satu mata pun bagus. Ini peringatan bahawa liga ini tiada erti belas kasihan.

“Saya rasa asas pasukan berada di landasan baik. Kami bertahan dengan baik, bekerja keras, berlari tanpa henti. Bahagian serangan adalah aspek yang perlu kami perbaiki. Saya harap kami dapat lakukan lebih baik hari ini,” kata Frank.

Tottenham bermula garang apabila tandukan Mohammed Kudus hasil hantaran silang berjaya ditepis Sam Johnstone ke palang gol.

Kudus kemudian meledak rembatan deras ke penjuru gawang selepas satu-dua bersama Lucas Bergvall, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Selepas permulaan perlahan, Wolves mula mendapat rentak dan hampir mendahului pada penghujung babak pertama apabila percubaan bekas pertahanan Spurs, Matt Doherty, terkena tiang.

Banyak diperkatakan mengenai peningkatan Spurs ketika situasi bola mati sejak Frank menggantikan Ange Postecoglou, namun mereka akhirnya dibolosi hasil sepakan penjuru.

Ladislav Krejci menanduk bola yang ditepis Guglielmo Vicario, sebelum bola muntah itu disambar Santiago Bueno untuk gol pembukaan ke gawang kosong.

Gol itu menyuntik keyakinan Wolves yang kemudian menguasai separuh masa kedua dan berpeluang menambah jaringan.

“Pada akhirnya sukar untuk diterima.

“Kami menguasai permainan di babak kedua. Semangat ada, segalanya ada, tetapi kami tewas pada minit terakhir,” kata pengendali Wolves, Vitor Pereira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top