SEMAKIN jauh kami belayar, bermakna semakin dekat kami dengan Gaza. Pada masa sama, semakin bertambah tumpuan rakyat Malaysia terhadap kami – sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF).
Ia saya ukur berdasarkan maklum balas dan komen pada setiap hantaran kami di media sosial, baik di akaun peribadi atau akaun rasmi organisasi masing-masing.
Kejadian serangan dron ke atas sembilan bot pada 23 September lalu dan pemberitahuan saya mengenai kapten menarik diri yang disalahertikan kononnya bot menarik diri, semakin menambah perhatian orang ramai terhadap kami sukarelawan GSF.
Apatah lagi, pada masa ini pelayaran kami semakin menghampiri kawasan perairan yang dianggap kritikal, maka semakin banyak soalan diajukan selain ucapan dan doa.
Sejujurnya, saya amat menghargai segala tumpuan dan keprihatinan anda semua serta terharu dengan ucapan semangat, nasihat dan doa mudah-mudahan kami selamat tiba di Gaza.
Terima kasih rakyat Malaysia. Kadang-kadang rasa sebak dan bergenang air mata membaca komen anda.
Cuma, situasi sebegini agak baru bagi saya. Ada ketikanya saya berasa janggal dan ‘seriau’ apabila ada yang memberi pujian dan sanjungan yang bagi saya berlebihan.
Jangan salah faham. Bukan tidak menghargai, cuma diri yang lemah dan serba kekurangan ini bimbang jika niat terpesong dan rasa riak berputik di hati.
Sejak bersama Muslim Care Malaysia (MCM) – selama 13 tahun termasuk lapan tahun secara sambilan ketika saya masih wartawan Harian Metro – saya sering diperingatkan perihal menjaga niat.
Bunyinya mudah, tapi nak buat susah. Niat murni yang ditanam di dalam hati ketika kaki melangkah keluar rumah, belum tentu boleh kekal serupa di sepanjang permusafiran.
Nafsu dalam diri, bisikan syaitan serta ragam manusia di sekeliling akan sentiasa hadir sebagai gangguan dan ujian.
Ketika kembara saya dalam GSF ini sudah menghampiri fasa penghujung, saya amat berharap Allah SWT memelihara niat dan iman serta melindungi saya dan semua sukarelawan GSF.
Maafkan saya kerana catatan kali ini agak peribadi sifatnya. Maklumlah, sudah lumrah penulis, apa yang bersarang di hati sukar untuk dipendam, tapi perlu segera diluahkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




