Hangzhou: Kisah pilu seorang bayi berusia 237 hari di timur China yang meninggal dunia akibat penyakit jantung kongenital menyentuh hati ramai, apabila ibu bapanya membuat keputusan besar untuk mendermakan badan kecil itu untuk penyelidikan penyakit pediatrik, lapor South China Morning Post.
Menurut media tempatan, Hangzhou Daily, bayi lelaki yang digelar Xile itu, menjadi antara penderma badan termuda di negara itu.
Dilahirkan pada Januari, Xile menghabiskan sebahagian besar hayatnya yang singkat di katil hospital dan melalui pelbagai pembedahan akibat kegagalan pernafasan yang kerap.
Meskipun sakit, doktornya, Shi Shanshan, menyifatkan Xile sebagai seorang bayi yang sangat comel, kuat dan suka tersenyum.
Memandangkan keadaannya yang kritikal, doktor berulang kali menasihatkan ibu bapanya untuk mempertimbangkan pemberhentian rawatan.
Pada 12 September, ibu bapanya membuat keputusan sukar untuk menghentikan rawatan kerana tidak sanggup lagi melihat penderitaan anak mereka dan Xile meninggal dunia pada hari yang sama pada usia 237 hari.
Mereka kemudian memutuskan untuk menderma badannya kepada Kolej Perubatan Hangzhou untuk penyelidikan penyakit pediatrik bagi memberi harapan kepada kanak-kanak lain pada masa hadapan.
Ibu Xile yang juga seorang jururawat, menyiarkan surat perpisahan yang menyayat hati di media sosial.
“Setiap kali (menghantarmu ke dewan bedah), hati saya bagai ditusuk,” tulisnya.
“Walaupun doktor berulang kali memberitahu saya supaya hentikan (rawatan), saya tidak sanggup melepaskanmu pergi. Maafkan ibu, sikap mementingkan diri saya menyebabkan kamu menderita berkali-kali,” luahnya dalam surat itu.
Beliau berkata, keputusan menghentikan rawatan dibuat bagi memastikan keselesaan dan maruah Xile pada saat-saat terakhirnya.
“Ibu dan ayah sangat menyayangimu. Semoga kamu selamat dan bahagia di syurga, bebas daripada kesakitan,” tulisnya sebagai penutup surat yang tular itu.
Kisah Xile menarik perhatian ramai dalam talian dengan video berkaitan menarik lebih 800,000 tontonan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




