Bekas menteri pertanian China dihukum mati kerana rasuah

Bekas menteri pertanian China dihukum mati kerana rasuah

Beijing: Bekas menteri pertanian China dijatuhi hukuman mati pada Ahad atas tuduhan rasuah dengan penangguhan hukuman selama dua tahun, menurut satu kenyataan mahkamah.

Tang Renjian menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan harta bernilai lebih daripada 268 juta yuan (kira-kira RM158 juta) antara tahun 2007 dan 2024, menurut kenyataan Mahkamah Rakyat Changchun di wilayah Jilin, timur laut China.

Mahkamah memutuskan bahawa rasuah itu “menyebabkan kerugian yang amat teruk kepada kepentingan negara dan rakyat, dan oleh sebab itu wajar dikenakan hukuman mati,” sambil menambah bahawa Tang mengaku terhadap jenayahnya dan menyatakan kekesalan.

Hukuman ke atas Tang adalah yang terbaharu dalam kempen antirasuah besar-besaran oleh Presiden Xi Jinping yang menjatuhkan beberapa tokoh peringkat tinggi.

Penyokong kempen antirasuah Xi berkata, ia menggalakkan tadbir urus yang bersih tetapi pengkritik berpendapat ia memberi kuasa kepada presiden untuk menyingkirkan saingan politik.

Tang sebelum ini berkhidmat sebagai gabenor wilayah barat laut Gansu serta naib pengerusi wilayah autonomi selatan Guangxi.

Kejatuhannya menyusuli siasatan rasuah yang sama terhadap bekas menteri pertahanan, Li Shangfu dan Wei Fenghe.

Li disingkirkan daripada jawatan hanya selepas tujuh bulan berkhidmat dan kemudiannya dipecat daripada Parti Komunis China atas kesalahan termasuk disyaki menerima rasuah, lapor media kerajaan.

Penggantinya, Dong Jun, juga dilaporkan diletakkan di bawah siasatan atas tuduhan rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top