Male: Seorang penyelam berpengalaman dari China berdepan detik cemas apabila percutian impiannya di Maldives bertukar menjadi mimpi ngeri selepas dihanyutkan di laut selama 40 minit akibat kecuaian sebuah pusat selam skuba.
Memetik laporan South China Morning Post, mangsa, Xu Man yang juga seorang penyelam penyelamat bertauliah, ketika itu melakukan aktiviti selam skuba bersama rakannya, Zhang Li.
Insiden pada 1 September lalu itu berlaku ketika mereka menggunakan pakej selam skuba yang ditempah daripada Plumeria Diving and Watersports Centre, sebuah pusat peranginan yang popular di Maldives.
Tanda amaran pertama muncul sebelum selam skuba itu bermula apabila tong oksigen milik rakannya didapati mempunyai alat kawal atur (regulator) utama yang rosak.
Namun, pengajar selam terbabit hanya mengarahkan rakannya menggunakan alat kawal atur kedua dan meneruskan aktiviti seperti biasa.
Masalah kedua timbul selepas selam apabila pengajar itu gagal menggunakan pelampung penanda permukaan (SMB) untuk memberi isyarat kepada bot, sebaliknya hanya melambai-lambaikan tangannya.
Ketika itu, Xu menyedari bot mereka berada beberapa ratus meter jauhnya, manakala arus deras mula menghanyutkan mereka untuk kawasan perairan yang semakin jauh.
Keadaan lebih genting apabila pengajar itu akhirnya cuba menggunakan SMB, namun alat keselamatan itu didapati bocor dan tidak dapat ditegakkan di permukaan air.
Akibat keletihan fizikal dan dipukul ombak kuat, Xu berkata, dia terpaksa bergelut untuk terus memastikan kepalanya berada di atas permukaan air.
Menyedari bahaya, Xu mencadangkan supaya pelampung yang bocor itu diikat pada sebatang kayu swafoto miliknya untuk dijadikan isyarat kecemasan sebelum sebuah bot nelayan yang melalui kawasan itu mengesan isyarat daripada kayu swafoto berkenaan sebelum menyelamatkan mereka.
Rakaman video menunjukkan mereka dihanyutkan hampir 40 minit iaitu bermula dari 1.40 tengah hari hingga diselamatkan pada 2.16 petang.
Selepas insiden itu, pihak hotel enggan memohon maaf dan hanya menawarkan diskaun sebanyak AS$20 (kira-kira RM80), mendorong Xu membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa pelancongan Maldives serta Persatuan Profesional Pengajar Selam (PADI).
“Saya belum menerima sebarang maklumat terkini. Ramai warganet meninggalkan ulasan negatif di platform tempahan dan hotel itu dinyahsenarai buat sementara waktu, tetapi baru-baru ini ia muncul semula di bawah nama baharu.”
“Apa yang paling membimbangkan saya ialah pihak hotel seolah-olah tidak memahami keseriusan apa yang telah berlaku. Jika mereka tidak mengambil serius perkara ini, pelancong lain boleh menghadapi risiko yang mengancam nyawa yang sama,” kata Xu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


