nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara sehingga kini masih menunggu maklum balas daripada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataannya berkait inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata notis berkenaan sudah diberikan kepada Mohd Shafie Apdal minggu lalu.
“Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang maklum balas daripada Datuk Seri Mohd Shafie berhubung kenyataan yang dikeluarkan itu.
“Sebarang tindakan susulan, kita tunggu dahulu maklum balas atau penjelasan daripada Datuk Seri Mohd Shafie kerana beliau ada memaklumkan akan menjawab notis berkenaan.
“Jadi kita tunggulah kerana ruang masa masih ada. Untuk isu ini kita tiada had masa dan bukannya jika beliau gagal jawab atau beri penjelasan, terus dikenakan hukuman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena ulang Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerana menghina prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan dibuat peguam Datuk Ram Singh semasa prosiding inkues yang memasuki hari ke-11.
Permohonan Ram itu turut disokong oleh semua pihak dalam prosiding berkenaan.
Sebelum ini kenyataan Mohd Shafie dalam sebuah video tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




