mohamadridzuan@hmetro.com.my
ADA rindu dan ada sendu. Begitulah lakaran perasaan penonton yang hadir menyaksikan Konsert Intifada Rabbani di Idea Live Arena Petaling Jaya, baru-baru ini.
Rindu kerana mereka mengenangkan satu masa serta kenangan lampau yang sudah lama ditinggalkan dan takkan mungkin kembali lagi.
Manakala, sendu kerana ingatan yang masih menyala terhadap penyanyi utama Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang sudah 16 tahun meninggalkan kita semua.
Lebih dari itu, Ustaz Asri dan seorang lagi anggota Rabbani, Allahyarham Nazrul Azhar tidak dapat bersama-sama mencipta sejarah bersama yang lain apabila Rabbani muncul dengan persembahan solo terbesar mereka selepas 28 tahun ditubuhkan.
Konsert yang dihadiri hampir 5,000 peminat ini berjaya menggamit nostalgia pencinta lagu ketuhanan dan kerohanian yang ditampilkan Rabbani dari era 90-an hingga zaman nasyid kontemporari.
Biarpun dipanjat usia, Rabbani yang menampilkan Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie tetap gagah melontarkan vokal mereka selama dua jam.
Konsert Intifada dibahagikan kepada tiga segmen iaitu nostalgia menampilkan lagu Assalamualaikum, Bila Nur Melimpah di Hati, Cari Pasangan, Anak Soleh, Bintang (Aeydan) dan Purnama.
Kemunculan anak-anak anggota Rabbani menamakan kumpulan mereka Aeydan yang diterajui anak keempat Ustaz Asri iaitu Muhammad Ilham Fikri menerusi lagu Di Pondok Kecil ternyata meruntun perasaan penonton sehingga ada yang menangis.
Segmen kedua pula menyaksikan Rabbani tampil dengan lagu muzik Timur Tengah seperti Handzalah, Satu Qiblat Yang Sama, Berpaut Pada Sabdamu, Apa Yang Kau Tahu dan Khalifah.
Manakala segmen terakhir menyentuh perasaan menerusi Pejalan Malam secara berduet dengan Yabang, Syahadah, Teman Sejati berduet dengan Brothers dan persembahan solo Brothers dengan lagu Untukmu Teman.
Rabbani kemudian mengambil kembali pentas dengan lagu Pergi Tak Kembali yang di dedikasi khas buat Ustaz Asri dan Nazrul. Sekali lagi, ada penonton tanpa sedar mengalirkan air mata.
Mereka seterusnya menyampaikan lagu Husnul Khatimah dan mengakhiri persembahan dengan nyanyian beramai-ramai menerusi lagu Intifada.
Ia melengkapkan satu malam yang indah dan bersejarah buat Rabbani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




