am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengeluarkan 124,700 notis saman atas pelbagai kesalahan dalam tempoh masa sebulan melalui Ops Khas Gempur Perdagangan sejak 1 September lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sepanjang tempoh sama, 544,403 kenderaan diperiksa, yang mana 50,629 daripadanya diambil tindakan termasuk tindakan menyita 1,060 kenderaan.
Katanya, antara kesalahan tertinggi direkodkan JPJ ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“JPJ terus melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten, tegas dan tanpa kompromi terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
“Ops Khas Gempur Perdagangan memberi tumpuan menyeluruh terhadap pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan.
“Selain itu, operasi juga sebagai salah satu usaha melindungi pengguna dan mengekang risiko kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan, kelancaran dan integriti sistem pengangkutan negara,” katanya dalam sidang media selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini, malam tadi.
Muhammad Kifli berkata, orang ramai diminta melaporkan aduan berkaitan kesalahan kenderaan perdagangan secara terus menggunakan aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 49 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) diganti semula serta ditambah baharu dan kini sudah beroperasi sepenuhnya di seluruh negara.
“Kamera ini bertujuan meningkatkan kesedaran selain mengubah sikap pemandu terhadap pematuhan peraturan lalu lintas, sekali gus mengurangkan statistik kemalangan dan kematian di jalan raya melalui penguatkuasaan automatik kesalahan had laju dan lampu isyarat.
“Kita juga mahu mendidik pemandu dan mewujudkan budaya keselamatan yang lebih baik, bukan sekadar untuk mengeluarkan saman sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



