mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dorongan dan keyakinan diberikan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menjadi faktor utama membuatkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita negara.
Iskandar yang kini menjankau usia 34 tahun, memulakan tugasnya semalam, mengakui ajakan Jonassen yang kerap berhubung dengannya memberi motivasi besar untuk pulang ke tanah air dan menyahut cabaran baharu dalam kerjaya kejurulatihan.
“Jurulatih Kenneth sendiri menghubungi saya dan sentiasa kemas kini perkembangan. Dari situ saya dapat rasakan kemahuan dia untuk saya sangat besar dan itu amat saya hargai.
“Pada masa sama, saya tahu saya perlukan cabaran baharu untuk meningkatkan diri sebagai jurulatih, sekali gus memberi manfaat kepada pemain,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, sebentar tadi.
BAM pada 30 Jun lalu mengumumkan pelantikan bekas pemain perseorangan lelaki negara itu sebagai usaha memperkukuh struktur kejurulatihan perseorangan.
Kepulangannya dianggap suntikan baharu untuk mengembalikan kegemilangan skuad wanita negara yang dilihat tenggelam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketika ini, hanya dua pemain iaitu K Letshanaa dan Wong Ling Ching kerap beraksi dalam Jelajah Dunia BWF, namun kebanyakannya di kejohanan berstatus rendah.
Sepanjang karier sebagai pemain, Iskandar membantu skuad lelaki meraih gangsa Sukan Asia Incheon 2014 dan Piala Thomas 2016 selain muncul naib juara Masters Malaysia 2016.
Pada masa sama, beliau turut meraih perak perseorangan lelaki dan berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Dunia 2009.
Ketika mengemudi pasukan Ireland sejak 2021, Iskandar berjaya menempatkan dua pemain perseorangan, Nhat Nguyen dan Rachael Darragh, ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus pencapaian besar buat badminton negara Eropah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




