'Arwah sempat cuit bahu saya tapi tak cakap apa-apa'

'Arwah sempat cuit bahu saya tapi tak cakap apa-apa'

am@hmetro.com.my

Jitra: “Kira-kira sejam sebelum kemalangan, arwah datang ke pasar untuk membeli ikan, dia sempat cuit bahu saya tetapi tidak cakap apa-apa.

“Tidak lama kemudian, saya tengok di media sosial berlaku kemalangan, cuma masa itu tidak tahu bapa dan ibu saudara saya yang terbabit dan meninggal,” kata Megat Asrul Najmi Megat Hamid, 20.

Dia adalah adalah anak saudara kepada Megat Yahya Megat Ahmad, 65, yang maut dalam kemalangan bersama isterinya, Khoriyah Kassim, 60, selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori di kawasan bulatan berhampiran Hospital Jitra, hari ini.

Pasangan yang menetap di Kampung Kepala Batu itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas terperosok di bawah lori.

Menurut peniaga, Allahyarham Megat Yahya datang ke Pasar Jitra untuk membeli ikan pada 8.30 pagi.

“Saya bagi saja beberapa ekor ikan kepada Pak Ndak (Megat Yahya) dan tak ambil duit daripadanya. Dia kemudian terus pulang.

“Isterinya ketika itu tunggu dekat motosikal dan difahamkan selepas itu mereka ke Hospital Jitra untuk mengambil ubat, sebelum kemalangan itu berlaku,” katanya memaklumkan menerima panggilan telefon daripada kakaknya yang memberitahu mengenai tragedi terbabit.

Sementara itu, Naemah Kassim, 50, iaitu adik kepada Khoriyah berkata, kematian kedua-dua warga emas itu mengejutkan mereka sekeluarga.

Katanya, kali terakhir dia bertemu pasangan itu dua hari lalu ketika membawa mereka ke Stesen Bas Bandar Darulaman untuk menghantar anak kedua mereka yang ditawarkan bekerja di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Selangor.

“Arwah kakak ada mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu dan dia hanya tinggal bersama abang ipar kerana tiga anak mereka bekerja dan tinggal jauh,” katanya.

Megat Hamid, 64, adik kepada Allahyarham Megat Yahya berkata, abangnya adalah anak keempat daripada lima beradik, tidak menunjukkan sebarang petanda untuk meninggalkan mereka.

“Cuma dia lebih banyak senyap, tidak seperti biasa. Kami reda dengan pemergian abang dan kakak ipar,” katanya.

Jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banai, Wang Tepus selepas selesai urusan di Unit Forensik HJ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top