FINAS agihkan lebih RM1.1 juta insentif pada 14 filem

FINAS agihkan lebih RM1.1 juta insentif pada 14 filem

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Hulu Kelang : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyerahkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) 2.0 berjumlah RM1,128,729.74 kepada 14 buah filem.

Majlis penyampaian insentif ini disempurnakan oleh Pengerusi FINAS, Datuk Gerald Hans Isaac dan disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ahli Perbadanan merangkap Pengerusi Skim Wajib Tayang, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi) serta para penggiat industri kreatif dan warga FINAS.

Azmir Saifuddin berkata, insentif ini kali kedua diadakan dan FINAS gembira dengan peningkatan dari segi kualiti filem dan sebagainya.

“Alhamdulillah juga, saya rasa kita punya rekod box office tahun ini agak baik. Tak sampai hujung tahun lagi, ia dah lepasi apa yang kita capai tahun lepas.

“Benda ini yang kita inginkan berlaku, di mana kita nak tarik banyak lagi penonton-penonton yang meminati filem tempatan ini datang ke pawagam.

“Itu yang kita hasratkan. Jadi cabaran tahun depan adalah untuk capai lebih tinggi. Itu yang Pengerusi, Datuk Hans selalu beri cabaran kepada pengurusan seperti saya untuk pastikan kita capai kita punya KPI (Petunjuk Prestasi Utama),” katanya ditemui selepas majlis penyerahan di Studio Dolby Atmos, Mix Stage, FINAS, hari ini.

Penyerahan ITFC itu dibuat susulan kesemua filem berkenaan sudah pun selesai ditayangkan di pawagam menerusi Skim Wajib Tayang.

Menurut Azmir Saifuddin lagi, insentif ini adalah satu imbuhan kepada penerbit untuk mendapatkan box office yang lebih tinggi.

“Ia supaya penerbit yang dapat imbuhan boleh menghasilkan filem seterusnya. Ini juga adalah satu insentif yang menggantikan duti hiburan yang tinggi. “Dengan hasrat begini, kita ingin penerbit-penerbit menghasilkan lebih banyak produksi untuk membangunkan sebuah filem yang berkualiti, untuk dapatkan hasil kutipan tinggi.

“Penyerahan ini dibuat mengikut perkiraan bergantung kepada box office filem. Contohnya RM2 juta box office, kita ada perkiraan dalam 10 peratus dan seterusnya dalam 5 peratus dan maksima RM500,000.

“Contohnya macam Blood Brothers, walaupun dia cecah kutipan berpuluh juta, dia akan dapat maksimum RM500,000 saja,” katanya.

Antara filem yang menerima insentif ini ialah filem animasi Dongeng Sang Kancil, Mereka Yang Tertewas, Babah, Tengkang dan Sahak Gangster.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top