amir_hamid@mediaprima.com.my
Semenyih: Hospital Pakar Semenyih (SSH) dibangunkan di Mukim Semenyih, Hulu Langat di sini, bakal menjadi hospital pakar pertama berteraskan prinsip patuh syariah dan wakaf di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hospital berteknologi moden itu bukan sekadar fasiliti rawatan kesihatan, sebaliknya distrukturkan sepenuhnya berasaskan konsep wakaf untuk menjamin kelestarian serta misi sosialnya.
Menurutnya, hospital berkenaan menggabungkan dua konsep iaitu kepatuhan syariah dalam operasi harian, etika serta urus niaga kewangan selain berasaskan wakaf sebagai struktur asas kewangan.
“Hospital ini bukti nyata bagaimana instrumen wakaf boleh digerakkan dalam sektor kesihatan. Ia bukan hanya menyediakan perkhidmatan berkualiti, malah menjana hasil mampan untuk institusi wakaf negeri,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembangunan SSH di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) .
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif itu selaras aspirasi Ekonomi MADANI yang menjadikan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara dengan sasaran menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang 2028.
Beliau menegaskan pembangunan SSH adalah manifestasi ibadah umum iaitu usaha kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat jika dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.
Berdasarkan perancangan, SSH akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.05 hektar merangkumi parkir, selain menyediakan 261 katil pelbagai kepakaran perubatan.
Projek berkenaan dijalankan Highfield Healthcare Sdn Bhd dengan kerjasama An-Nur Healthcare Sdn Bhd sebagai operator berpengalaman dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030.
Fadillah berkata, hospital itu disasarkan menjadi pintu gerbang perubatan di wilayah selatan atau ‘Southern Medical Gateway’ dengan memberi perkhidmatan berkualiti tinggi serta meningkatkan akses kesihatan untuk penduduk negeri-negeri selatan.
Katanya, pihak pemaju turut digalakkan menerapkan elemen teknologi hijau dalam pembangunan SSH selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah sasaran sifar bersih pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.
“Hospital bukan hanya tempat merawat pesakit tetapi juga pusat mencegah penyakit menerusi vaksinasi, pemeriksaan awal dan kempen gaya hidup sihat. Jika masyarakat lebih fokus kepada pencegahan, beban kos rawatan dapat dikurangkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




