syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita Negara dan ikon muzik Asia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza bakal meraikan tiga dekad perjalanan seninya menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Januari depan.
Siti juga pemilik SN Legacy Sdn Bhd, menjelaskan pemilihan stadium ikonik itu bukan bertujuan untuk memecah rekod kehadiran 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya sebagai langkah perancangan rapi bagi memastikan pengalaman konsert yang selesa, epik dan penuh makna buat semua peminat.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi sebuah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun.
“Saya mahu peminat yang selama ini menyokong saya dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini, menyelami semula karya-karya yang menjadi sebahagian daripada kenangan dan sejarah karier,” katanya.
Konsert berskala besar itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun pembabitan Siti dalam industri muzik, sekali gus menandakan dedikasi, cinta dan keikhlasannya terhadap seni serta mengangkat warisan muzik Malaysia ke pentas antarabangsa.
Dengan kapasiti sekitar 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi terbaik untuk menghimpunkan peminat dan pencinta muzik dari seluruh negara serta rantau Asia.
Penganjuran konsert ini turut bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus diharap dapat menarik kehadiran peminat antarabangsa untuk datang ke Malaysia menikmati keindahan muzik, seni dan budaya tempatan, serta menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dibawakan khas oleh Cuckoo dan penganjur utama AFFIN Bank.
Pra-jualan eksklusif untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN akan dibuka bermula jam 12 tengah hari esok hingga Jumaat ini jam 12 tengah hari.
Jualan tiket untuk orang ramai pula akan bermula jam 3 petang Jumaat ini menerusi laman rasmi ticket2u.
Harga tiket ditawarkan bermula daripada RM69 hingga RM1,599, merangkumi pelbagai kategori tempat duduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




