Bergamo(Itali): Atalanta bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan wakil Belgium, Club Brugge 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri awal pagi tadi dengan Mario Pasalic muncul wira pasukan.
Pasalic, yang sudah lapan musim bersama kelab Serie A itu, menjadi watak penting apabila memenangi sepakan penalti untuk gol penyamaan sebelum menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-87 hasil sepakan penjuru.
Terdahulu, Brugge mendahului menerusi jaringan Christos Tzolis pada minit ke-38 selepas kesilapan Marten de Roon membuka ruang kepada Carlos Forbs melakukan hantaran yang disempurnakan dengan rembatan melengkung.
Atalanta kembali dalam permainan pada minit ke-74 apabila Pasalic dijatuhkan penjaga gol Nordin Jackers dalam kotak penalti, sekali gus memberi peluang kepada Lazar Samardzic menyempurnakan sepakan untuk gol penyamaan.
Seminit kemudian, Brugge hampir merampas semula kelebihan tetapi percubaan Romeo Vermant sekadar meluncur tipis ke tepi dengan penjaga gol tuan rumah sudah tertewas.
Bagaimanapun tekanan berterusan Atalanta akhirnya membuahkan hasil apabila Pasalic bijak menanduk bola hantaran sudut untuk memastikan kemenangan sulung pasukan itu dalam saingan kumpulan selepas tewas 0-4 kepada juara bertahan Paris Saint-Germain sebelum ini.
Brugge kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 4-1 ke atas Monaco dalam aksi pembukaan, manakala Atalanta kini menghidupkan peluang untuk bersaing ke pusingan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




