asyikin.mat@hmetro.com.my
PERMULAAN pemuda ini memelihara ikan gapi kerana memenuhi kehendak ibunya yang meminati ikan hiasan berkenaan.
Namun, lama kelamaan dia pula jatuh cinta dengan kecantikan spesies ikan air tawar yang sangat popular dijadikan ikan peliharaan.
Bermula dengan memelihara 10 ekor ikan gapi, Mohamad Akmal Hakimy Juzaimy, 27, kemudian berjaya ‘membiakkannya’ menjadi puluhan ribu ekor.
Menurutnya, ilmu membiakkan ikan gapi dipelajari menerusi Youtube dan rakan yang lebih berpengalaman memelihara ikan itu.
“Saya terbabit dalam dunia ikan gapi sejak lima tahun lalu dan mengetahui ikan perhiasan ini ada gred menerusi satu kumpulan ikan gapi di Facebook.
“Ikan gapi gred biasa mempunyai pelbagai warna bercampur, manakala kategori gred baik hanya terdapat satu warna sahaja.
“Harga bagi ikan gapi gred baik boleh mencecah antara RM80 hingga RM100 seekor. Bahkan ada juga yang harganya menjangkau RM300 seekor,” katanya.
Mohamad Akmal Hakimy berkata, walaupun ikan gapi bersaiz kecil iaitu 2.4 sentimeter (cm) tetapi mempunyai tarikan tersendiri iaitu pada warna dan corak di ekor yang menarik.
“Gerakan ikan gapi berenang dalam akuarium dapat meningkatkan terapi jiwa.
“Satu lagi sebab saya pelihara ikan gapi kerana mudah dibiakkan, lasak dan penjagaan tidak rumit,” katanya.
Namun, katanya, memelihara ikan gapi ada cabarannya yang mana mudah mendapat penyakit kerana perubahan cuaca yang mempengaruhi suhu air.
Jelasnya, penyakit paling biasa dihidapi ikan berkenaan ialah penyakit bintik putih, ‘Dropsy C’ dan reput sirip (‘fin rot’) yang boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.
“Sebab itu saya sentiasa bersiap sedia meletakkan satu atau dua sudu garam ke dalam akuarium untuk meningkatkan antibodi ikan gapi.
“Saya hanya menggunakan garam masakan kerana bersifat semula jadi yang lebih selamat kepada ikan gapi.
“Malah saya juga elak guna ubat kimia kerana bimbang boleh menjejaskan genetik anak ikan baharu lahir seperti kecacatan,” katanya.
Katanya lagi, jangka hayat ikan gapi boleh bertahan antara setahun hingga satu setengah tahun.
“Setiap seekor ikan gapi betina boleh beranak antara empat hingga lima generasi.
“Ikan ini beranak kerana telurnya menetas dan membesar di dalam perut induk betina sebelum dilahirkan,” katanya.
Menurutnya, tempoh bunting ikan gapi ialah kira-kira 21 hari. Bagi induk betina yang matang boleh melahirkan antara 100 hingga 150 ekor anak.
Mohamad Akmal Hakimy berkata, tip penting untuk memelihara ikan gapi ialah mencari ilmu berkenaan ikan itu termasuk cara pembiakannya.
“Selain cari maklumat menerusi Internet, saya juga menuntut ilmu dengan ramai pembiak ikan gapi berpengalaman.
“Ini kerana pendekatan setiap pembiak ikan gapi adalah berbeza dan kemudian saya sesuaikan dengan cara sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




