am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 52 Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor, semalam.
Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu, mangsa berusia 45 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, nahas membabitkan motosikal Yamaha MT09 dan Proton Exora.
“Siasatan mendapati MPV yang dipandu wanita berumur 59 tahun dari Kuala Selangor ke Teluk Intan bersama rakan sekerjanya yang juga wanita berusia 56 tahun.
“Manakala penunggang motosikal pula baru selesai menghadiri mesyuarat di Sabak Bernam dan dalam perjalanan pulang ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata, ketika pemandu membelok ke kanan untuk singgah di kedai makan, mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar MPV itu.
Beliau berkata, akibat kemalangan penunggang motosikal tercampak ke bahu kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di badan serta muka.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala pemandu dan penumpang MPV masing-masing cedera di muka.
“Mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan. Mayat dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.
Azaharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




