Menanti keajaiban: Resah Ibu bapa pelajar Pesantren Al Khoziny

Menanti keajaiban: Resah Ibu bapa pelajar Pesantren Al Khoziny

Jakarta: Tidur tak lena, makan tak lalu. Itulah perasaan yang menyelubungi ibu bapa dan ahli keluarga pelajar Pondok Pesantren Al Khoziny, Desa Buduran, Sidoarjo, Jawa Timur, yang masih menanti nasib anak-anak mereka yang terperangkap di bawah runtuhan surau sejak Isnin lalu.

Memetik laporan Kompas, suasana suram dan cemas jelas kelihatan di kawasan tragedi di Sidoarjo, Jawa Timur itu, hari ini, di mana keluarga mangsa berkumpul, menanti dengan penuh debaran sebarang berita mengenai orang tersayang.

Tragedi bermula apabila bangunan surau tiga tingkat di asrama lelaki itu tiba-tiba runtuh, menimpa puluhan pelajar yang sedang menunaikan solat Asar.

Setakat ini, tiga pelajar disahkan meninggal dunia, manakala 102 lagi berjaya diselamatkan, namun puluhan yang lain masih tertimbus di bawah runtuhan konkrit dan keluli.

Harapan keluarga kembali bersinar apabila Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak mengesahkan pasukan penyelamat mengesan 11 lagi mangsa yang masih hidup di lima lokasi berbeza.

Lebih melegakan, pasukan penyelamat dilaporkan masih dapat berkomunikasi dengan sebahagian mangsa, malah berjaya menyalurkan makanan kepada seorang daripadanya.

“Anggarannya, seorang mangsa yang kini sudah boleh diakses, diberikan roti di dalam, dia boleh makan sendiri,” kata Emil.

Namun, penantian itu terus menguji kesabaran kerana operasi menyelamat berdepan kesukaran ekoran keadaan struktur yang tidak stabil dan berisiko tinggi untuk runtuh lagi.

“Ini memang kerja yang luar biasa, kawasan yang sangat sempit dan berbahaya kerana kita bercakap tentang potongan-potongan kepingan keluli yang jika terkena leher boleh membahayakan,” jelas Emil.

Di tengah-tengah kebimbangan itu, Ketua daerah Sidoarjo, Subandi, tampil memberi jaminan bahawa semua kos perubatan mangsa yang cedera akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tempatan.

Beliau merayu supaya keluarga mangsa tidak bimbang mengenai kos rawatan dan meminta mereka untuk terus berdoa.

“Ya kita doakan semuanya, biarkan nanti segera sembuh, rawatan pantas supaya keluarga juga tidak ada suatu kekhuatiran,” katanya.

Dalam pada itu, pengetua pondok pesantren berkenaan dilaporkan memohon maaf kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top